
TAWAU – Pelaksanaan undang-undang baharu di daerah ini oleh Majlis Perbandaran Tawau (MPT) perlu dilaksanakan seiring dengan usaha meningkatkan kemudahan asas rakyat bagi memastikan kesejahteraan komuniti setempat tidak terjejas, kata Ahli Jawatankuasa DAP Sabah, Philip Yap.
Beliau berkata, MPT mula melaksanakan Undang-undang Kecil Tempat Letak Kenderaan Seragam yang baharu sekali gus menggantikan undang-undang kecil parkir lama yang telah diguna pakai sejak tahun 1982.
Katanya, pelaksanaan undang-undang baharu itu menyaksikan kadar caj parkir dinaikkan, yang secara langsung akan meningkatkan hasil pendapatan MPT.
“Ramai peniaga meluahkan rasa kecewa kerana pelanggan mula berkurangan akibat caj parkir yang lebih tinggi.
“Ini bukan sekadar isu parkir, tetapi memberi kesan langsung kepada kelangsungan perniagaan dan ekonomi setempat
“Justeru, peningkatan hasil ini perlu disusuli dengan penambahbaikan ketara terhadap kemudahan asas demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.
Menurut Philip, MPT juga telah melaksanakan beberapa undang-undang kecil lain seperti undang-undang bangunan dan pelesenan, yang turut melibatkan kenaikan kadar bayaran.
“Pelaksanaan pelbagai undang-undang baharu secara serentak ini menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat mengenai hala tuju penggunaan hasil tambahan yang dikutip oleh pihak majlis.
“Rakyat bukan menolak perubahan atau penambahbaikan sistem, sebaliknya mahu melihat hasil kutipan tersebut digunakan semula untuk meningkatkan kemudahan asas yang telah lama menjadi rungutan masyarakat.
“Antara isu yang sering dibangkitkan sejak sekian lama ialah masalah saliran tersumbat, penutup parit yang rosak, kawasan gelap akibat kekurangan lampu jalan, serta keadaan jalan raya yang semakin teruk di kawasan perumahan dan komersial.
“Masalah ini bukan baharu. Ia telah berlarutan selama bertahun-tahun dan memberi kesan langsung kepada keselamatan serta kualiti hidup rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, Philip menggesa MPT agar memperuntukkan lebih banyak bajet tahunan untuk kerja-kerja membaiki dan menaik taraf sistem perparitan, menggantikan penutup parit yang rosak, menambah lampu jalan serta menurap semula jalan raya yang rosak.
Philip juga menyeru MPT agar lebih telus dalam menjelaskan kepada orang ramai mengenai perancangan dan keutamaan penggunaan hasil tambahan yang diperoleh serta memastikan dana tersebut disalurkan kepada projek-projek yang benar-benar memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Diharapkan MPT dapat mengamalkan pendekatan yang lebih berteraskan rakyat dalam melaksanakan pembangunan bandar agar setiap perubahan dasar dan undang-undang benar-benar membawa peningkatan kepada kehidupan seharian masyarakat di Tawau,” ujarnya.







