
MIRI – Tindakan pantas seorang pemandu Maxim di Miri yang membantu sebuah keluarga berdepan kecemasan apabila seorang wanita warga emas tiba-tiba jatuh sakit berjaya menyelamatkan nyawa pesakit tersebut.
Menurut perkongsian anak pesakit, Christly, kejadian itu berlaku apabila ibunya hampir pengsan di rumah.
Pada ketika itu, hanya dia bersama abangnya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) berada di sisi.
“Ibu saya tiba-tiba jatuh sakit. Wajahnya pucat, matanya berpusing ke atas dan hampir pengsan. Saya cuba hubungi ambulans swasta tetapi semuanya penuh. Beberapa pemandu lain juga menolak. Akhirnya, saya cuba nasib dengan menempah kenderaan besar melalui aplikasi Maxim,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.
Tidak sampai tiga minit selepas tempahan dibuat, pemandu Maxim tiba dan segera membantu mengangkat pesakit masuk ke dalam kenderaan sebelum membawa mereka ke hospital.
“Sepanjang perjalanan, keadaan sangat kritikal. Pemandu itu memandu dengan berhati-hati tetapi tetap pantas agar kami tiba segera di Jabatan Kecemasan. Dia juga menunggu dengan sabar sehingga ibu saya dibantu petugas perubatan. Paling menyentuh hati, dia tidak mengenakan caj berlebihan,” ujar Christly.
Sementara itu, pemandu berkenaan, Chong, menjelaskan bahawa dia hanya menjalankan tanggungjawab sebagai sesama insan dan pemandu e-hailing.
“Itu tempahan keempat saya pada hari itu. Saya tiba dalam masa tiga minit selepas menerima panggilan. Saya bantu anak-anak wanita itu mengangkat ibunya ke dalam kereta. Perjalanan ke hospital mengambil masa kira-kira 25 minit dan saya cuba kawal pemanduan agar selamat. Bagi saya, ini bukan sekadar kerja, tetapi amanah dan peluang untuk membantu menyelamatkan nyawa,” katanya.
Atas jasa dan keprihatinan itu, pihak pengurusan Maxim E-hailing menyampaikan sijil penghargaan kepada Chong.
Menurut syarikat itu, insiden ini membuktikan perkhidmatan e-hailing bukan sekadar pengangkutan, malah mampu memberi impak besar dalam kehidupan masyarakat.
Maxim yang mula beroperasi di Malaysia sejak 2019 kini menawarkan perkhidmatan di seluruh negara. Aplikasi ini boleh dimuat turun di Google Play Store, App Store, Huawei AppGallery dan beberapa platform lain.





