PUTRAJAYA – Kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk meneliti insiden gangguan terhadap ucapan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, yang berlaku pada Selasa.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sebarang tindakan susulan bergantung kepada hasil siasatan sekiranya wujud pelanggaran undang-undang.
“Kita serah kepada pihak berkuasa untuk meneliti dan sekiranya ada apa-apa pelanggaran, maka apa tindakan yang perlu disusuli, itu kita serah kepada pihak berkuasa,” katanya pada sidang media mingguan di sini, pada Rabu.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa pihaknya belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung insiden tersebut dan hanya mengetahuinya menerusi laporan media.
“Saya tidak ada terima laporan. Saya cuma meneliti apa yang berlaku dalam sidang media atau melalui laporan media,” ujarnya.
Kejadian berkenaan berlaku ketika Azam menyampaikan ucapan dalam Program Wacana Ilmiah Perdana di ibu negara apabila seorang daripada individu terbabit dipercayai cuba menghampiri pentas tempat beliau berucap.
Tidak lama selepas itu, seorang lagi individu muncul dari arah belakang dengan salah seorang daripada mereka dilihat membawa sepanduk yang menggesa penahanan Azam berkait isu konflik yang dibangkitkan sebelum ini.
Bagaimanapun, kedua-dua individu tersebut segera diiring keluar oleh petugas keselamatan dan gangguan itu hanya berlangsung selama beberapa saat.
Azam bagaimanapun dilihat tidak terjejas dengan kejadian tersebut dan meneruskan ucapannya yang menyentuh mengenai integriti serta tadbir urus yang baik.





