KUCHING – Polis menahan tiga individu dalam dua serbuan berasingan melibatkan rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai hampir RM13,000 di sekitar bandar ini pada 14 dan 15 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata dalam serbuan pertama yang dilakukan sekitar jam 3.30 petang di sebuah rumah di Bandar Baru Semariang, seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun berjaya ditahan.
“Pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah 398 gram ganja dengan nilai anggaran pasaran RM11,940. Ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC),” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan telah direman selama tujuh hari sehingga 22 Julai untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam serbuan kedua pula, katanya, polis menahan sepasang lelaki dan wanita tempatan berusia 31 dan 34 tahun di sebuah rumah di Tabuan Jaya sekitar jam 12.40 tengah hari, 15 Julai.
“Rampasan melibatkan pelbagai jenis dadah iaitu 258.74 gram serbuk Ecstasy, 1.48 gram syabu dan 0.95 gram ketamin dengan nilai keseluruhan dianggarkan sebanyak RM621,” jelas beliau.
Siasatan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ketamin dan benzo. Lelaki terbabit mempunyai empat rekod lampau berkaitan kes dadah, manakala wanita berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Kedua-duanya kini direman selama lima hari sehingga 21 Julai bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.





