PUTRAJAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, pada Rabu mengutuskan permohonan maaf dan simpati terhadap penderitaan ditanggung keluarga Teoh Beng Hock yang meninggal dunia ketika disoal siasat agensi antirasuah itu pada 2009.
Permohonan maaf itu dikemukakan SPRM pada hari ulang tahun ke-16 kematian Beng Hock, yang juga Setiausaha Politik kepada Exco Selangor ketika tu, Ean Yong Hian Wah.
Azam menyatakan, SPRM bersedia memberi sejumlah sumbangan ihsan kepada keluarga, khususnya bagi anak mendiang sebagai tanda keprihatinan.
“SPRM mengambil maklum pada 12 Mei 2015, kerajaan membayar pampasan RM600,000 kepada keluarga mendiang dan tambahan RM60,000 bagi menampung kos guaman sebagai penyelesaian penuh dan muktamad di bawah Seksyen 7 dan 8 Akta Undang-Undang Sivil 1956.
“Namun demikian, sebagai tanda keprihatinan, SPRM bersedia memberi sumbangan ihsan kepada keluarga mendiang dalam jumlah yang akan ditentukan kelak bagi tujuan kebajikan dan perbelanjaan pendidikan anak mendiang,” katanya menerusi kenyataan, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Azam memaklumkan, insiden pada 16 Julai 2009 itu menjadi detik hitam yang bukan sahaja memberi kesan besar kepada waris Beng Hock tetapi untuk warga SPRM dan negara.

“Walaupun siasatan terkini tidak menemui bukti mencukupi untuk membuktikan apa juga kesalahan terhadap mana-mana individu di bawah undang-undang, SPRM tetap memandang serius mendiang Beng Hock ditemui meninggal dunia di premis SPRM Selangor pada 16 Julai 2009.
“Atas dasar keprihatinan, saya selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM, ingin menzahirkan perasaan simpati dan memohon maaf kepada keluarga mendiang atas penderitaan yang telah ditanggung sepanjang tempoh itu,” katanya.
Beliau berkata, selepas insiden terbabit, SPRM memperbaiki kelemahan lalu dan berusaha membina semula kepercayaan rakyat melalui pelbagai langkah penambahbaikan untuk memastikan kebajikan individu yang hadir membantu siasatan sentiasa terpelihara.
Azam menegaskan, sekurang-kurangnya enam penambahbaikan dilakukan oleh agensi itu, antaranya, mewujudkan Bilik Rakaman Bervideo (VIR) untuk merekod pernyataan saksi, orang kena tangkap atau suspek.
“SPRM juga mewujudkan Bilik Temu Bual Saksi di aras bawah bagi memastikan akses lebih mudah dan pemantauan lebih telus.
“Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) juga dipertingkatkan dengan ciri berteknologi tinggi, kuantiti ditambah dan ditempatkan di lokasi strategik bagi mengawas dan merekod pergerakan serta perlakuan setiap orang yang memasuki premis SPRM,” katanya.
Dalam setiap operasi siasatan, katanya, penggunaan Body Worn Camera (BWC) dilakukan bagi merakam aktiviti operasi dan memastikan integriti pegawai siasatan terjaga.
“Kita juga menggunakan teknik soal siasat model PEACE (Planning, Engage, Account, Closure, Evaluation) yang dilaksanakan di United Kingdom (UK), yang menekankan aspek keberhasilan dan keselamatan dan diadaptasi sebagai MACC PEACE,” katanya.
Beng Hock, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam selepas disoal siasat semalaman oleh SPRM.
Mahkamah Rayuan pada 2014 memutuskan kematiannya disebabkan perbuatan satu atau lebih individu yang tidak dikenali ketika dalam tahanan SPRM.
Mei lalu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan kertas siasatan kes kematian Beng Hock diklasifikasi sebagai ‘Tiada Tindakan Lanjut’ (NFA), selepas Pejabat Peguam Negara meneliti keseluruhan keterangan dalam kertas siasatan yang dikemukakan oleh pihak polis.
Siasatan semula kes berkenaan dibuat susulan arahan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November tahun lalu agar siasatan dilengkapkan dalam tempoh enam bulan.






