
KENINGAU – Tiga rumah berserta lima kereta dan sebuah motosikal musnah dalam kebakaran di Kampung Linsuk, Sook, di sini, pada Selasa.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan pukul 11.35 pagi.
“Seramai lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook bergegas ke lokasi kejadian.
“Sejurus tiba di lokasi, pasukan bomba segera menjalankan operasi memadam kebakaran menggunakan satu aliran, dua pancutan dengan sumber air terbuka daripada sungai berhampiran.
“Operasi terkawal pada pukul 12.40 tengah hari dan tiga rumah jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran tersebut,” menurut dalam satu kenyataan JPBM Sabah.
Empat kereta termasuk Isuzu Invader, Proton LMST, Proton Saga dan motosikal jenis Demak terbakar sepenuhnya manakala Toyota Land Cruiser Ninja dan Perodua Viva terbakar 20 peratus.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah keseluruhan kejadian masih dalam siasatan.
Operasi ditamatkan pada pukul 1.20 petang selepas keadaan telah dipastikan selamat.