KUANTAN – Tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia ditahan kerana disyaki menceroboh Hutan Simpan Rotan Tunggal, Kampung Sang Lee dekat Raub, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung aktiviti pencerobohan itu pada jam 8 pagi.
Menurutnya, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub dan Balai Polis Tranum ke lokasi kejadian.
“Hasil pemerhatian sehingga jam 12.30 tengah hari, polis berjaya menahan tiga suspek menunggang motosikal memasuki kawasan hutan simpan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Shahril berkata, tangkapan dilakukan ke atas ketiga-tiga suspek sebelum pihaknya menghubungi pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub untuk tindakan lanjut.
“Pasukan PHD Raub yang tiba mengesahkan bahawa tangkapan dilakukan di dalam hutan Simpan Rotan Tunggal dan terdapat kegiatan pencerobohan tanah di kawasan itu.
“Suspek dibawa ke IPD Raub untuk tindakan lanjut oleh pihak PHD Raub mengikut Seksyen 88(1), Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya




