
DI SEBALIK pelbagai kecaman pembangkang, setakat ini Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjalan lancar.
Dari satu segi, pembangkang mungkin percaya, desakan agar kerajaan menunda peperiksaan itu sebagai satu ‘bakti’ mereka kepada rakyat.
Pada sangkaan mereka, dengan berbuat demikian majoriti rakyat akan menyokong mereka.
Sasaran mereka bukan setakat pengundi sedia ada, sebaliknya bakal pengundi – calon SPM itu sendiri.
Dengan menjadikan ‘gangguan emosi’ dalam kalangan calon SPM yang berdepan musibah banjir sebagai alasan kewajaran penangguhan peperiksaan itu, pembangkang berharap generasi muda membenci kerajaan.
Malangnya, rata-rata calon SPM pula berpendapat mereka lebih terganggu dengan ‘pencerobohan emosi’ yang dilakukan kumpulan pendesak yang propembangkang.
Dalam banyak tinjauan ke atas ibu bapa calon SPM yang terkesan oleh bencana itu, didapati golongan muda itu sangat tidak selesa dihasut sedemikian.
Tidak sukar untuk kita memahami situasi itu kerana calon SPM sememangnya sudah bersedia menduduki peperiksaan dan tidak mahu adanya penangguhan kerana rantaian kesannya jauh lebih besar.
Lagipun, peperiksaan yang bermula 2 Disember lalu setakat ini, hanya membabitkan ujian lisan.
Selain itu, ujian bertulis SPM pula hanya bermula Januari 2025 dan inilah antara perkara yang tidak diketahui pihak yang kuat melalak itu.
Oleh sebab itu, apabila kumpulan pendesak yang sememangnya propembangkang itu memekak, calon SPM berasa sangat terganggu.
Mereka tahu bahawa pihak sekolah dan kementerian mempunyai pelbagai kaedah untuk memastikan peperiksaan itu dilaksanakan dan kebolehhadiran calon diberi keutamaan.
Mereka tidak mahu menerima banyak masalah lain termasuklah terjejas langkah pascapeperiksaan seperti melanjutkan pelajaran sekiranya berlakunya penundaan peperiksaan tersebut.
Mereka tahu bahawa banyak perkara akan tergendala sementelah pula itu tidak adil kepada lebih ramai calon SPM yang tidak terkesan oleh banjir.
Oleh sebab itu, berpada-padalah menghasut.
Tidak bagus mempolitikkan isu ini dan menjadikan pelajar sebagai sasaran meraih undi pasa masa akan datang.
Sesekali bertindaklah dengan matang.
Memang diakui untuk mendapatkan rezeki, orang selalu ‘menahan lukah di pergentingan’.
Namun sedarlah bahawa tidak semua pergentingan perlu diletakkan lukah.



