
MENTERI Komunikasi, Fahmi Fadzil mendedahkan yang kementeriannya dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak mengetahui aktiviti operasi Digital Nasional Bhd (DNB) ketika mula-mula beliau memegang portfolio sebagai menteri.
Ketika menggulung perbahasan mengenai Belanjawan 2025 bagi kementeriannya, Fahmi berkata, ianya amat membimbangkan apabila tiada mana-mana pihak yang memahami dengan jelas mengenai gerak kerja DNB ketika itu.
“Apabila saya mengambil alih… malah timbalan ketua setiausaha perbendaharaan ketika itu tidak jelas aktiviti DNB walaupun ia adalah sebuah syarikat Diperbadankan Kementerian Kewangan.
“Tetapi apabila ia berada di bawah bidang kuasa saya, DNB adalah antara beberapa perkara yang kami teliti,” katanya di Dewan Rakyat.
Fahmi berkata demikian apabila perkara itu dibangkitkan oleh beberapa ahli Parlimen mengenai bajet DNB dan pelancaran rangkaian 5G Malaysia semasa perbahasan.
Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) mempersoalkan peruntukan untuk rangkaian 5G pertama dan bertanya sama ada benar kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memperuntukkan RM16.5 bilion dana awam bagi pelancaran 5G pertama DNB.
Hassan juga bertanya berapa banyak daripada jumlah itu telah dibelanjakan.
Beliau bertanyakan susulan pendedahan daripada Pengerusi U Mobile, Tan Sri Vincent Tan bahawa kerajaan PN mahu DNB menjadi rangkaian tunggal yang menguruskan rangkaian 5G.
Tan mendedahkan bahawa RM4 bilion telah dibelanjakan untuk projek itu, dengan tambahan RM12.5 bilion dirancang melalui pelbagai kontrak dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Fahmi dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Digital pada 3 Disember 2022, dan DNB kekal di bawah bidang kuasanya ketika itu.
Bagaimanapun, berikutan rombakan Kabinet Disember lalu, kementerian itu telah berpecah, dan Fahmi telah ditugaskan semula ke Kementerian Komunikasi, manakala Gobind Singh Deo mengambil alih Kementerian Digital.
DNB secara rasmi berada di bawah Kementerian Digital pada 10 Januari tahun ini.






