SEMPORNA – Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) dua penumpang bot warga Filipina selepas dilaporkan hilang di perairan Pulau Sebangkat sejak Selasa, kini ditamatkan memandangkan tiada menemukan petunjuk baharu.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, pihaknya akan terus melaksanakan pemantauan melalui rondaan rutin operasi di lapangan dan pemakluman lanjut akan dibuat sekiranya terdapat petunjuk baharu yang mungkin menjurus kepada penemuan mangsa.
“Sepanjang tiga hari ini kita telah melakukan pencarian mencecah keluasan 64 batu nautika persegi dengan penglibatan tujuh buah bot dari Maritim Malaysia dan pelbagai agensi sahabat.
“Komuniti di kampung-kampung sekitar diminta untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang petunjuk,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.
Sementara itu, Amir turut mengingatkan kepada komuniti maritim untuk sentiasa menggunakan jaket keselamatan semasa melakukan aktiviti di laut.
Terdahulu, dua penumpang warga Filipina dikenali sebagai Rommek dan Jimal yang kedua-duanya berusia 30 tahun, dikhuatiri lemas apabila bot yang mereka naiki dilanggar oleh sebuah bot lain di Perairan Pulau Sebangkat, Semporna dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi.





