
“HARIMAU sekandang takkan sebulu, apatah lagi musang berbulu ayam.” Begitulah gambaran paling tepat menggambarkan drama dalaman Perikatan Nasional (PN) yang kini penuh kecamuk, dendam dan gelojak kuasa. Bersatu dan Pas kelihatan lagak mesra, tapi masing-masing ada agenda tersembunyi.
Tatkala rakyat perlukan kestabilan, PN pula sibuk berpencak sesama sendiri, membuktikan bahawa gabungan itu sebenarnya retak dari dalam.
Jika belum jadi kerajaan pun sudah berbalah merebut tampuk kuasa parti, bayangkanlah apa yang bakal terjadi jika mereka benar-benar memerintah. Sudah tentu rakyat dan negara bakal menjadi mangsa percaturan politik mereka.
Rakyat Malaysia sepatutnya boleh berehat sekejap daripada mendengar retorik ‘DAP ancaman negara’ sebab kali ini drama PN sendiri sudah cukup menghiburkan. Tanpa DAP pun, pergolakan dalaman PN kini makin panas, retak yang dulunya disapu ke bawah permaidani, kini mula berbunyi lantang.
Dalam polemik politik negara, seringkali DAP dijadikan kambing hitam. Apa sahaja kelemahan dalam pentadbiran, gabungan kerajaan, malah keputusan dasar yang tidak disenangi segelintir masyarakat Melayu, semuanya dikaitkan dengan kewujudan DAP.
Namun perkembangan semasa membuktikan sesuatu yang lebih penting iaitu perpecahan, perebutan kuasa dan ketidaksepakatan politik juga berlaku walaupun DAP tiada dalam gabungan.
Perkembangan dalam PN antara Pas dan Bersatu membuktikan masalah sebenar bukanlah siapa dalam gabungan, tetapi sikap pemain politik itu sendiri.
Tanpa DAP pun, Bersatu dan Pas kini saling curiga. Isu dominasi, calon Perdana Menteri, strategi masa depan dan hala tuju gabungan menjadi punca keretakan yang bukan melibatkan ideologi DAP atau tekanan luar.
Rakyat perlu sedar dan bijak menilai. Jangan tertipu dengan naratif “kami bersatu kerana DAP musuh bersama”. Jika perjuangan hanya berasaskan kebencian, bukan prinsip dan dasar kukuh, maka ia tidak akan kekal lama.
Gabungan yang stabil lahir daripada saling hormat, bukan saling mencurigai. PN kini dilihat lebih sibuk menyusun langkah untuk mengukuhkan kedudukan masing-masing dalam parti, bukan memperjuangkan kebajikan rakyat secara konkrit.
Rakyat perlu menilai prestasi, bukan retorik. Sekadar melaungkan penyatuan Melayu-Islam tidak mencukupi jika dalam diam mereka berebut kuasa, jawatan dan pengaruh.
Politik juga tidak harus digerakkan oleh sentimen kaum dan agama semata-mata. Sebaliknya, mesti berpaksikan kepada integriti, kecekapan, dan dasar yang memakmurkan semua rakyat.
Kata orang-orang tua, “jika sesama saudara pun bercakaran, jangan salahkan orang luar bila rumah runtuh”. Maka, sudah tiba masa rakyat berhenti menjadi penonton setia drama politik penuh sandiwara. Mulalah menjadi pengundi bijak untuk menilai bukan siapa musuh mereka, tapi siapa yang benar-benar bekerja untuk rakyat.
Pas dan Bersatu, dua parti yang dulunya bergambar manis di pentas “penyatuan ummah”, kini seperti sedang melalui fasa “abang long tak puas hati dengan abang ngah”.
Semuanya berkisar soal dominasi, siapa lebih berpengaruh, siapa lebih layak jadi nakhda kapal, walaupun kapal pun belum tentunya dapat.
Dan sekarang, muncul pula drama londeh-melondeh dalam Bersatu sendiri. Ahli yang dipecat dan digantung tanpa segan silu mendedahkan kisah dalaman parti macam episod sinetron politik. Tuduh-menuduh, surat-menyurat, sumpah menyumpah, semua berlaku dalam parti yang kononnya mahu membawa ‘politik baru’.
PN katanya nak bawa kestabilan, malangnya ketika menjadi pembangkang pun mereka sudah menjadi seperti teater bangsawan. Kalau sebelum mendapat kuasa telah mula episod londeh melondeh sesama sendiri, bayangkan kalau benar-benar duduk di Putrajaya? Mungkin setiap minggu ada ‘season baru’.
Lebih lucu, yang dijaja kepada rakyat kononnya mereka satu-satunya harapan Melayu-Islam. Tapi bila satu demi satu pemimpin mula saling membidas, rakyat pun mula tertanya, “Kalau ini rupa ‘penyatuan ummah’, apa beza dengan perebutan kuasa purba yang sama sahaja isinya?
Rakyat hanya mampu geleng kepala. Dulu sibuk tuduh kerajaan tidak stabil. Sekarang bila tengok PN, baru mereka sedar, rupanya kestabilan itu bukan soal lawan, tapi cermin.
Jadi ingatlah, yang menanggung akibat daripada percakaran mereka bukan ahli politik tetapi kita rakyat jelata.








