
TIADA syarikat milik agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengalami kerugian.
Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesemua syarikat telah mencapai keuntungan pendapatan lebih baik pada suku ketiga tahun ini ketimbang tahun lepas.
Beliau yang juga Menteri KKDW menzahirkan perasaan bangga dengan pencapaian, komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh setiap syarikat sekali gus terus mencapai matlamat serta menjana keuntungan.
“Saya telah menyarankan agar syarikat-syarikat ini terus fokus dalam meningkatkan potensi perniagaan sedia ada di samping berusaha untuk meneroka perniagaan dan industri baharu yang berpotensi untuk memberi pulangan pendapatan yang tinggi.
“Saya turut menekankan kepentingan organisasi melakukan pendekatan ‘hands-on’ bagi mendepani dunia perniagaan yang semakin kompetitif.
“Untuk memacu kejayaan, tidak cukup sekadar berpuas hati terhadap teori atau strategi yang ditetapkan di atas kertas tetapi pihak pengurusan perlu terlibat secara langsung dalam setiap aspek operasi, dari perancangan hingga pelaksanaan.
“Dengan cara itu kita bukan sahaja dapat mencapai matlamat organisasi, tetapi juga membina budaya kerja yang positif dan produktif,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menjelaskan mengenainya, Ahmad Zahid berkata, KKDW terus komited dalam memastikan setiap agensi serta syarikat-syarikat milikan agensi di bawahnya terus berperanan seiring dengan visi dan misi kementerian sebagai peneraju kemajuan dan kesejahteraan masyarakat desa secara menyeluruh dan berkesan.
Justeru, pada 29 dan 30 Oktober lalu berlangsung Permukiman Syarikat Milikan Agensi di bawah KKDW.
Permukiman itu melibatkan Risda Holding Sdn. Bhd. (Risda), Felcra Berhad Sdn. Bhd. (Felcra), Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) iaitu Ketengah Holding Sdn. Bhd (Ketengah), Kesedar Holdings Sdn. Bhd (Kesedar), Kejora Holding Sdn. Bhd. (Kejora), Keda Holdings Sdn. Bhd. (Keda) dan Perda Ventures Incorporated Sdn. Bhd. (Perda).
“Pertemuan ini bertujuan menilai status semasa syarikat dan memperhalusi gerak kerja agar setiap agensi mencapai matlamat serta penunjuk prestasi yang ditetapkan.
“Antara yang mencatatkan ke jayaan memberangsangkan adalah Ketengah Holdings Sdn. Bhd. dengan merekodkan pendapatan semasa sehingga September 2024 adalah sebanyak RM355.78 juta.
Keuntungan sebelum cukai dalam tempoh tersebut adalah sebanyak RM53.80 juta.
“Selain itu, prestasi kewangan Risda juga berada sangat baik dengan pendapatan sebanyak RM33 juta dan diunjurkan mencapai RM70 juta pada tahun berakhir 31 Disember 2024,” katanya.
Felcra juga beroleh peningkatan dalam pendapatan sebanyak RM1,131.49 juta setakat September berbanding RM1,019.21 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.
“Kesedar Holdings Sdn. Bhd turut mencapai prestasi kewangan yang sangat baik iaitu berada pada tahap RM1.8 juta setakat September ini dan diunjurkan kepada RM2.7 juta pada tahun berakhir 31 Disember,” katanya.







