
TAWAU – Dua lelaki mengalami kecederaan selepas kenderaan dinaiki terbabas lalu terjunam ke dalam sungai dalam kejadian di Batu 2, Jalan Apas, di sini pagi Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ushin berkata, kedua-dua mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Saiful Mohammad Daud, 32, dan Mohd Azrul Shah Abraham, 31.
“Sepasukan lapan anggota bersama jentera bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan pukul 5.29 pagi dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Hilux Single Cab jatuh ke sungai.
“Mangsa pertama berjaya dikeluarkan oleh orang awam manakala mangsa kedua iaitu pemandu yang mengalami kecederaan ringan diberi rawatan awal oleh pasukan Bomba,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa kini mendapatkan rawatan lanjut di hospital dan operasi ditamatkan pukul 6.04 pagi.





