
PUTRAJAYA – Penggantungan perjanjian damai Thailand–Kemboja bukan sekadar isu dua hala, tetapi merupakan ujian terhadap keupayaan Malaysia dan ASEAN sebagai arkitek kestabilan serantau.
Pemerhati hubungan antarabangsa dan keselamatan Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berpandangan, tindakan Thailand menggantung perjanjian damai dengan Kemboja hanya dua minggu selepas dimeterai menimbulkan tanda tanya besar terhadap kestabilan politik dalaman Bangkok serta hala tuju dasar luarnya.
Menurutnya, keputusan mengejut itu tidak boleh dipisahkan daripada dinamika politik domestik Thailand, termasuk tekanan institusi ketenteraan dan kumpulan nasionalis yang melihat hubungan dengan Kemboja melalui perspektif keselamatan sempadan.
“Perubahan mendadak ini berkemungkinan berpunca daripada keengganan pihak tertentu di Bangkok menerima formula kompromi yang dilihat terlalu menguntungkan Phnom Penh, sekali gus menjejaskan kredibiliti kerajaan sivil dalam menegakkan dasar luar yang konsisten.
“Dalam konteks ini, langkah penggantungan tersebut mencerminkan ketidakseimbangan antara kehendak politik dalaman dengan komitmen terhadap diplomasi serantau,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.
Dalam pada itu, Nur Ashikin memaklumkan, walaupun Kuala Lumpur selama ini dilihat sebagai fasilitator neutral, kenyataan segelintir tokoh politik dan tentera Thailand mendakwa Malaysia condong kepada Kemboja mencetuskan kecurigaan baharu.
Menurutnya, persepsi sebegini berbahaya kerana ia boleh menjejaskan kepercayaan terhadap Malaysia sebagai pendamai konflik serantau, walaupun tiada bukti yang menyokong dakwaan tersebut.
“Kemunculan semula Donald Trump di pentas global dengan pendekatan realisme transaksional turut memberi kesan kepada kalkulus strategik Thailand. Bangkok kini dilihat sedang menilai semula kedudukan geopolitiknya dalam persaingan kuasa besar antara Amerika Syarikat dan China.
“Dalam usaha mencari keseimbangan baharu, tindakan menggantung perjanjian dengan Kemboja boleh juga ditafsir sebagai langkah taktikal bagi mengekalkan ruang tawar-menawar yang lebih luas di peringkat antarabangsa.
“Perkara itu menunjukkan bagaimana perubahan dalam struktur kuasa global boleh memberi kesan langsung terhadap keputusan dasar luar di rantau kecil seperti Asia Tenggara,” katanya.

Pada masa sama, katanya, tuduhan Malaysia sebagai musuh dalam selimut ASEAN turut meningkatkan ketegangan diplomatik, sekali gus menggugat usaha diplomasi Malaysia yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jika perjanjian ini tidak disambung semula dalam masa terdekat, risikonya amat nyata. Ketegangan di sempadan boleh meningkat, membuka ruang kepada aktiviti militia, penyeludupan senjata dan peningkatan aliran pelarian.
“Tindakan terbabit boleh mencetuskan bentuk konflik intensiti rendah yang sukar dikawal dan berpanjangan, sekali gus menjejaskan kestabilan serantau yang selama ini menjadi kekuatan utama ASEAN,” katanya.







