PUTRAJAYA – TH Travel & Services Sdn Bhd (TH Travel) menafikan kaitan syarikat itu dengan ‘Program Haji Infaq Masyarakat’ yang didakwa menawarkan pakej haji berharga RM123,990, dengan bayaran awal serendah RM10,000.
TH Travel dalam kenyataan menjelaskan syarikat itu tidak pernah melantik mana-mana individu, syarikat luar atau entiti perniagaan untuk mempromosikan, mengurus atau menerima bayaran bagi pihak mereka untuk sebarang pakej haji atau umrah.
Kenyataan itu menyebut sebagai sebuah agensi pelancongan haji dan umrah berdaftar dan dikawal selia sepenuhnya oleh Lembaga Tabung Haji (TH), semua bayaran berkaitan pendaftaran dan deposit pakej haji yang dikendalikan TH Travel hanya boleh dibuat melalui akaun rasmi TH sahaja.
“TH Travel tidak menawarkan pakej subsidi atau tajaan luar yang memerlukan jemaah membayar kepada akaun bukan rasmi atau individu.
“TH Travel tidak terbabit dalam sebarang bentuk kutipan dana melalui syarikat pembersihan, perniagaan kek atau perantaraan pihak ketiga,” menurut kenyataan itu.
TH Travel memandang serius penyalahgunaan nama dan reputasi syarikat itu untuk menipu umat Islam yang berniat menunaikan ibadah haji.
“Kami difahamkan laporan polis telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa dan TH Travel bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam menangani kes ini,” jelasnya.







