
JOHOR BAHRU – Berbaki kurang lapan bulan sahaja lagi untuk melangkah ke tahun 2026, Kerajaan Johor dilihat terus komited memastikan beberapa projek pelancongan di negeri ini siap sepenuhnya.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sejumlah RM48.75 juta telah diperuntukkan tahun ini bagi menjayakan 18 projek pelancongan bersempena Tahun Melawat Johor 2026.

“Ia termasuklah projek baharu, projek menaik taraf taraf kemudahan dan projek mengindahkan lagi tempat tumpuan pelancong.
“Antara lokasi terlibat adalah Zoo Johor, Kampung Sungai Melayu, Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar (Yayasan Warisan Johor), Taman Botani Diraja, Muzium DiRaja Abu Bakar, Bangunan Sultan Ibrahim, Muzium Tokoh Johor, Johor Bahru City Centre, Danga Bay dan beberapa pusat pelancongan lain di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Townhall Bagi Pembentangan Perancangan Strategik Untuk Kempen Tahun Melawat Johor 2026 bertempat di Hotel Doubletree by Hilton, di sini, kelmarin.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan, dan Budaya Negeri, Raven Kumar Krishnasamy; Pengarah Tourism Johor, Shahril Nizam Abdul Rahim dan Pengarah Yayasan Warisan Johor (YWJ), Fairuzahri Jalaluddin.
Tambah Onn Hafiz, pihaknya akan melaksanakan pelbagai perancangan dan strategi bagi memastikan negeri kekal sebagai antara destinasi pelancongan utama di negara.




