KUCHING – Seorang tekong bot nelayan tempatan, Sumardi, 43 tahun, warga Indonesia, dilaporkan meninggal dunia selepas pengsan akibat jatuh ke laut.
Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) yang dilancarkan sejurus kejadian tersebut kini tamat.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh, jenazah mangsa tiba di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), Muara Tebas, Kuching, pada 12.15 tengah hari.
“Jenazah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan dan disahkan meninggal dunia sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” kata Kamal.
Ujar Kamal, insiden ini dilaporkan kepada Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching oleh pemilik bot, Eric Yeo, yang memaklumkan tekong botnya pengsan selepas jatuh ke laut, namun berjaya diselamatkan oleh dua kru bot.
CARILAMAT diaktifkan pada 2.30 petang dengan kapal KM MARLIN digerakkan ke lokasi kejadian.
Operasi pencarian turut dibantu oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) melalui sistem Mobile Tracking Unit (MTU) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM).
Mangsa dan botnya akhirnya ditemukan oleh KM MARLIN pada 11.08 malam di kedudukan 36 batu nautika di utara Tanjung Po, sebelum dibawa ke jeti KOMTAS.
Maritim Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menasihatkan komuniti maritim agar sentiasa berhati-hati ketika berada di laut, termasuk memakai jaket keselamatan dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).
Selain itu, pihaknya menasihatkan agar aktiviti di laut ditangguhkan jika cuaca buruk.
Sebarang maklumat kecemasan di laut boleh dilaporkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak melalui talian 082-432544 atau talian kecemasan 999.







