
PUTRAJAYA – Kenaikan kadar cukai import atau tarif baharu kepada beberapa negara seperti yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat tempoh hari, menonjolkan potensi Malaysia sebagai salah satu destinasi pelaburan alternatif kepada pelabur yang terjejas.
Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mujibu Abd Muis berkata, kemungkinan kenaikan tarif yang tinggi itu akan menjadikan pasaran-pasaran dunia selain daripada Amerika Syarikat kelihatan lebih menarik termasuk Malaysia.
Menurutnya bagaimanapun, kenaikan tarif tersebut juga berkemungkinan untuk memberikan kesan secara tidak langsung kepada beberapa sektor di Malaysia memandangkan Malaysia juga terlibat sebagai Ahli Bersekutu BRICS pada tahun ini.
“Malaysia boleh menjadi destinasi pilihan pelaburan yang baharu sekiranya Malaysia dapat menawarkan pakej yang menarik, infrastruktur yang kondusif dan pada masa sama, dasar-dasar mesra pelabur Malaysia itu juga boleh diketengahkan.
“Jadi sedikit sebanyak impak kenaikan tarif kepada tiga negara iaitu Kanada, Mexico dan China itu menjadikan negara-negara ini akan mencari destinasi lain dan destinasi itu adalah Malaysia,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press.

Jelasnya, dalam jangka masa pendek, kesan tersebut masih lagi tidak akan dirasai secara langsung oleh Malaysia namun perkaitannya dengan BRICS dan China menjadi sebab utama Malaysia terkena tempias sama.
“Ia tidak akan terjejas begitu teruklah memandangkan krisis tarif itu masih lagi tidak melibatkan Malaysia secara langsung lebih kepada secara tidak langsung disebabkan Malaysia adalah ahli BRICS.
“Manakala perang dagang di antara China dan Amerika itu tersedikit terimpak disebabkan Malaysia ini antara negara utama yang berdagang dengan China dan juga sudah tentu isu BRICS itu menjadi tumpuan sebab Malaysia ini adalah Ahli Bersekutu BRICS dan Amerika melihat BRICS itu sebagai ancaman langsung kepada kedaulatan ekonomi Amerika,” tambahnya.
Mengulas mengenai kesan tarif tersebut, ia dijangka akan memberi kesan kepada kenaikan harga barang di Malaysia namun ia tidaklah begitu ketara memandangkan Malaysia hanya dikenakan kenaikan tarif pada beberapa sektor yang berkaitan sahaja.
“Walaupun Amerika adalah rakan dagang terbesar Malaysia dalam konteks perdagangan antarabangsa tapi sedikit sebanyak ia mungkin boleh diserap dan Malaysia juga barangkali akan mencari alternatif daripada pasaran lain agar negara tidak begitu terkesan dalam konteks perang tarif tersebut.
“Walau bagaimanapun, perdagangan dalam bidang semikonduktor dan teknologi mungkin menerima limpahan kesan positif daripada tarif tersebut namun dari sudut bidang komoditi, pemprosesan, industri-industri ini barangkali terjejas kerana Amerika banyak bergantung pada sektor-sektor ini daripada Malaysia,” katanya.
Mengenai prinsip Malaysia yang tidak memihak kepada mana-mana pihak pula, ia dilihat sebagai satu pendekatan yang memberi nilai tambah kepada Malaysia dari segi penghormatan antarabangsa dan ketenangan kepada negara-negara luar untuk meneruskan hubungan baik dengan Malaysia termasuk dalam perdagangan politik dan sosial.
“Prinsip neutral yang dipegang Malaysia bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan dasar luar kita itu sudah lama wujud sejak merdeka lagi kita mengamalkan jalan tengah dalam diplomasi dan keunikan tersebut menjadikan Malaysia rakan kepada semua negara walaupun di sebaliknya mungkin ada krisis tetapi dalam konteks itu pendekatan kita tetap tidak berubah.
“Oleh itu, Malaysia perlu tetap meneruskan dasar sebegini namun tidak boleh meninggalkan langkah ‘hedging’ iaitu tetap memelihara kepentingan negara di mana disebalik persahabatan dengan semua tapi perlu ada perlindungan nilai, membina kekuatan kita dan memanfaatkan situasi geopolitik yang tidak stabil ketika ini,” ujarnya.
Sementara itu, jangkaan bahawa perpindahan perniagaan dan pelaburan daripada China ke Malaysia juga mungkin berlaku, namun Malaysia seharusnya bijak mengawal situasi dan memanfaatkan peluang yang ada untuk menceburi bidang-bidang baharu dalam perdagangan China.
“Memandangkan Malaysia mempunyai hubungan diplomatik dan hubungan baik dari sudut sejarah dengan Malaysia dan China malah kita juga telah menyambut ulang tahun yang ke-50 dan Presiden China sendiri ketika lawatan negara telah berjanji akan mempertingkatkan lebih banyak peluang di Malaysia itu contohnya seperti TVET.
“Jadi kalau dilihat atas faktor ini, ia tidak mustahil dengan situasi perang tarif yang berlaku ketika ini, Malaysia merupakan salah satu destinasi utama China untuk memindahkan pelaburan itu cuma yang penting bagaimana menguruskan dan bersedia untuk kemasukan tersebut,” katanya.
Tambahnya, hubungan baik antara Malaysia dengan China itu juga dilihat tidak akan menjejaskan struktur hubungan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat kerana kedudukan Malaysia sebagai negara kuasa tengah menjadikan Malaysia perlu mempunyai banyak pelaburan asing.
“Sedikit sebanyak ia ada pengaruh tetapi sebagai negara kuasa tengah seperti Malaysia ini dan prinsip Malaysia di dunia antarabangsa yang telahpun diketahui umum bahawa Malaysia ini adalah sebuah negara yang neutral dan dia tidak berpihak pada mana-mana.
“Jadi saya tidak nampak itu barangkali akan menjejaskan hubungan Malaysia-Amerika secara prinsipal kerana dalam satu sisi, Amerika dan Malaysia, Amerika faham bahawa Malaysia ini antara salah satu negara yang punyai banyak pelaburan di sana dan antara rakan dagang terpenting mereka,” tambahnya.
Terdahulu, Trump mahu melaksanakan tarif pada Sabtu lalu ke atas tiga rakan dagang terbesar AS iaitu Kanada, Mexico dan China, sambil menyatakan bahawa tiada apa yang boleh menghalangnya, malah berjanji untuk mengenakan lebih banyak levi ke atas pelbagai industri.
Trump sudah mengulangi rancangannya untuk mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas import dari negara jiran Kanada dan Mexico, dengan alasan bahawa kedua-dua negara gagal menangani masalah pendatang haram yang menyeberang ke sempadan AS serta kemasukan dadah fentanyl secara haram.
Bagaimanapun, Trump pada Isnin mengumumkan penangguhan tarif ke atas Mexico dan Kanada selepas berbincang dengan pemimpin kedua-dua negara pada Isnin – hanya beberapa jam sebelum langkah itu dijadualkan berkuat kuasa.
Presiden baharu Amerika Syarikat itu memaklumkan beliau akan mengadakan berbincang dengan China tidak lama lagi, berhubung tarif terbabit.