
KUANTAN – Kumpulan pesawah padi di Kampung Jawa, dekat Rompin, kini boleh menarik nafas lega selepas permohonan mereka bagi mendapatkan subsidi hampir menjadi kenyataan.
Sebelum ini, pesawah berkenaan mendakwa tidak mendapat subsidi daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Kegelisahan mereka itu disuarakan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly dalam satu pertemuan sebelum ini.
Mohd Fadzli kemudiannya memanjangkan perkara itu kepada KPKM untuk pertimbangan sewajar.
“Perbincangan dengan pesawah terbabit sudah dilakukan… saya juga sudah membangkitkan isu ini ketika sesi soal jawab Menteri Besar Pahang pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.
“Seterusnya, perbincangan dengan pegawai KPKM juga dibuat dan Alhamdulillah… hari ini dapat maklum balas bertulis daripada pegawai kementerian berkaitan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Mohd Fadzli dalam masa yang sama menjelaskan bahawa kegusaran dihadapi kumpulan pesawah itu sentiasa diberi perhatian pihak kerajaan negeri dan Persekutuan.
Katanya, pelbagai usaha sudah dilakukan dalam membantu pesawah di Pahang mendapatkan subsidi baja, benih dan harga lantai jualan padi yang kompetitif.
“Adalah menjadi harapan semua pihak untuk memastikan pesawah mendapat hak mereka dan seterusnya membantu mengekalkan rantaian bekalan makanan di negara ini,” ujarnya.