PUTRAJAYA – Keputusan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif timbal balik sebanyak 25 peratus terhadap Malaysia tidak akan menjejaskan harga barang tempatan di negara ini
Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Mastura Ahmad Mustafa memaklumkan, produk yang akan mengalami kenaikan hanyalah barangan tempatan yang akan dieksport ke pasaran AS di samping produk yang diimport dari negara kuasa besar terbabit ke Malaysia.
“Dari segi dalam negara, (ia dilihat) tiada kaitan. Nak dikatakan barang jadi mahal tidak juga.
“Kalau barang atau produk tempatan yang masuk serta dieksport ke US itu yang akan menjadi mahal seperti produk iPhone,” katanya ketika sesi taklimat isu-isu semasa berkenaan tarif 25 peratus AS ke atas Malaysia.
Bagaimanapun, beliau melahirkan kebimbangan bahawa pelaksanaan tarif mengejut itu boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan secara langsung dan tidak langsung di samping gangguan rantaian yang menjejaskan pengeluar Malaysia dan operasi multinasional berkaitan AS di negara ini.

Menurutnya, polisi itu juga boleh menjejaskan ekosistem yang lebih luas termasuk pembekal, penyedia logistik, dan sektor perkhidmatan hiliran disebabkan perubahan dalam keputusan sumber dan pembuatan akibat tarif daripada AS.
“Impak sebenarnya adalah apabila syarikat eksport ke AS tidak menerima permintaan, dia akan kurangkan aktiviti pengeluaran dan apabila itu berlaku, pekerja akan dikurangkan dan impaknya akan hilang pekerjaan. Kita tidak boleh hanya melihat syarikat yang terus import produk ke AS sebab di bawahnya memerlukan input dari SME (peniaga kecil dan sederhana).
“Sebagai contoh, katakanlah syarikat perabot yang import ke AS, mereka akan ambil barang dari pengeluar skru, kusyen tempatan. Jika syarikat itu kurang penjualan dia, sudah pasti pengeluar-pengeluar ini akan menerima kesan juga sehingga ada yang boleh hilang pekerjaan. Ini sesuatu yang rumit kesannya sebab kita perlu lihat secara keseluruhan rantaian,” katanya.
Terdahulu, AS mengumumkan tarif import sebanyak 25 peratus akan dikenakan terhadap Malaysia bermula 1 Ogos ini.
Trump berkata langkah itu perlu diambil untuk ‘melindungi industri tempatan Amerika Syarikat’ daripada apa yang beliau sifatkan sebagai amalan perdagangan tidak adil oleh beberapa negara.
Antara negara yang akan menghadapi tarif 25 peratus ialah Jepun, Korea Selatan, Tunisia, Kazakhstan manakala kadar lebih tinggi akan dikenakan terhadap negara lain: Afrika Selatan dan Bosnia & Herzegovina (30 peratus); Serbia dan Bangladesh (35 peratus); Kemboja dan Thailand (36 peratus) serta sehingga 40 peratus untuk Laos dan Myanmar.
Sebelum ini pemerhati geopolitik dan keselamatan Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof menyifatkan dasar baharu AS itu bukan hanya tindakan ekonomi, namun petanda kepada geopolitik dunia yang semakin tegang, bersifat berat sebelah serta wujudnya pertembungan naratif.
Katanya, kenaikan itu dilihat sebagai reaksi daripada Trump selepas Malaysia komited bersama BRICS sehingga negara kuasa besar itu menggunakan perdagangan sebagai senjata politik.






