
BEBERAPA hari yang lalu, Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengeluarkan kenyataan akan memuflisan pihak yang terlibat dengan rompakan harta negara termasuklah perasuah.
Kenyataan itu muncul tidak lama setelah Perdana Menteri mengisytiharkan September sebagai waktu permulaan langkah yang lebih tegas ke arah pembasmian jenayah itu.
Gerak gempur itu kelihatan tersusun dan didukung oleh banyak pihak sama ada yang sedia menyokong Perdana Menteri Kesepuluh (PMX) mahupun pihak lain yang sedikit demi sedikit kian serasi dengan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Bekas Menteri Pendidikan – Dr. Maszlee Malik, contohnya tidak menunggu lama untuk bergerak memerangi kebejatan tersebut.
Beliau kembali membentangkan layar pacak dan memaparkan isu besar penjarahan harta negara – ‘1BestariNet’.
Semalam (Rabu), dalam suatu siaran akaun media sosialnya, beliau kembali memaparkan potongan kenyataannya yang berupa gesaan agar seorang bekas Perdana Menteri disiasat oleh SPRM berhubung kemelut kecurangan itu.
Langkah pantas Dr. Maszlee ibarat tindakan bijaksana pemain apit sepak takraw mengapungkan bola untuk dibenamkan oleh perejam ke gelanggang lawan.
Pada masa yang sama, kakitangan kerajaan di setiap agensi pula sudah semakin memahami fokus PMX dan jentera pentadbirannya dalam menguruskan pembetulan pergerakan hala tuju negara.
Melalui ketua jabatan masing-masing, perkara itu diberi peringatan agar amalan tidak elok yang sudah menjadi ‘endemik’ segera dibataskan dan dihapuskan.
Rakyat pula diberi gambaran yang jelas bahawa amalan lama yang sedemikian itulah sebenarnya punca Malaysia tidak mampu menjadi negara maju kerana kekayaan negara mengalir ke poket dan peti yang salah.
Kesedaran itu memudahkan SPRM melaksanakan tanggungjawabnya dan rompakan ke atas harta negara yang berleluasa sebelum ini dapat dikekang.
Kalau dalam tempoh kira-kira lapan bulan tahun ini lebih RM1.3 bilion berjaya diperoleh semula, bayangkan jumlahnya jika tindakan besar-besaran direalisasikan.
Pendek kata, tali kian menjerut leher petualang.
Oleh sebab itu, mereka menggelupur seperti orang hilang akal.
Tindak balasnya jelas. Mereka menyerang PMX dan Kerajaan Perpaduan tanpa mengira isu yang digunakan itu relevan atau tidak; fitnah atau tidak.
Ketakutan membuatkan mereka gempar seperti ayam dalam reban yang terhidu bau musang!
Kasihan, tetapi itulah realitinya. Mereka sudah diberi peringatan lama dahulu tetapi mereka suka ‘menganjing!’
Jelas bahawa tali kian menjerut. Sekarang hadaplah semua itu!




