
KANGAR – Seorang pemilik kedai percetakan didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan mesin cetak tanpa lesen di premis perniagaannya tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Suhail Sazali, 34, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut kertas pertuduhan, pada 15 Oktober 2024 kira-kira jam 11.45 pagi, di premis Suhail Enterprise beralamat No. 4, Jalan Stadium Utama, Kangar, Perlis, tertuduh didapati menggunakan mesin cetak tanpa lesen yang sah daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Perbuatan itu merupakan kesalahan mengikut Seksyen 3(4) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Perlis, Esmahalil Ismail.
Dalam rayuannya, Muhammad Suhail memohon hukuman diringankan dengan alasan perniagaannya tidak stabil, menanggung enam pekerja, ibunya tidak sihat serta tidak mengetahui bahawa mesin cetak memerlukan lesen.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,500 atau penjara enam bulan jika gagal membayar, namun tertuduh membayar denda tersebut.
Difahamkan, kes ini merupakan kes pertama di Perlis melibatkan premis perniagaan yang didakwa memiliki mesin cetak tanpa lesen.







