
SYRIA mengecam keras serangan udara yang dilaporkan berlaku lewat malam Khamis di wilayah selatan Suwayda, yang didakwa menyebabkan kematian dan kecederaan dalam kalangan penduduk awam.
Serangan itu menyasarkan kawasan pinggir Suwayda yang majoritinya didiami masyarakat Druze. Bagaimanapun, tiada butiran lanjut diberikan berhubung jumlah korban atau kerosakan yang berlaku, lapor Anadolu.
Laporan tempatan kemudiannya menyatakan bahawa perkampungan Walga di kawasan luar bandar Suwayda menjadi sasaran utama, dengan beberapa kematian dan kecederaan dilaporkan melibatkan penduduk etnik Badwi.
Namun, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menafikan sebarang penglibatan dalam insiden berkenaan.
“Kami tidak mengetahui sebarang serangan yang dilakukan IDF di Syria,” kata jurucakap tentera Israel kepada agensi Anadolu.
Akhbar harian Israel, Yedioth Ahronoth, turut memetik sumber tentera yang menyatakan mereka “tidak mengetahui” sebarang operasi ketenteraan di kawasan itu pada hari Khamis.
Serangan ini berlaku sehari selepas Kementerian Dalam Negeri Syria mengesahkan satu perjanjian gencatan senjata baharu dicapai di Suwayda, yang bertujuan mengembalikan sepenuhnya wilayah selatan itu di bawah kawalan kerajaan pusat.
Perjanjian itu diumumkan ketika serangan udara Israel dilaporkan turut menyasarkan ibu kota Damaskus, selain Suwayda dan Daraa, kononnya bagi tujuan melindungi komuniti Druze.








