
KERAJAAN meneruskan komitmen memperkukuh syiar Islam dan pembangunan ummah menerusi peruntukan besar berjumlah RM2.6 bilion dalam Belanjawan 2026, yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.
Peruntukan itu meliputi pelbagai inisiatif termasuk menaik taraf prasarana institusi pendidikan berteraskan Islam, memperkasakan institusi masjid sebagai pusat komuniti, serta meluaskan akses kepada ilmu dan kandungan Islam di dalam dan luar negara.
Bagi memperkukuh institusi pendidikan Islam, sebanyak RM150 juta disediakan bagi menambah baik prasarana sekolah agama rakyat, sekolah tahfiz dan institusi pondok berdaftar, termasuk penggantian peralatan pengajian yang telah usang.
Setakat ini, terdapat lebih 300 buah sekolah pondok berdaftar di seluruh negara, manakala hampir 160 buah lagi masih belum berdaftar.
Perdana Menteri menegaskan bahawa usaha membangunkan institusi pendidikan Islam akan terus memelihara kurikulum tradisional, namun turut diperluas dengan ilmu moden seperti digital, kecerdasan buatan (AI) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi mempersiapkan pelajar dengan kemahiran abad ke-21.
“Seramai 720 pelajar tahfiz akan dibekalkan latihan kemahiran profesional melalui GiatMARA, yang boleh dimanfaatkan selepas tamat pengajian,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa institusi masjid akan terus diimarahkan sebagai pusat komuniti setempat yang aktif, melalui majlis ilmu yang diperbanyak bagi meningkatkan kefahaman umat Islam terhadap ajaran Islam yang sebenar.
Antara inisiatif utama yang diumumkan ialah penganjuran Majlis Sama’ Hadis 2026, iaitu majlis khas yang memberi peluang kepada umat Islam menghayati hadis Rasulullah SAW yang diperdengarkan secara tartil oleh para ulama terkemuka.
Kerajaan juga akan memperkenalkan Anugerah Masjid Malaysia bagi mengiktiraf pencapaian masjid yang cemerlang dalam pelbagai aspek termasuk pentadbiran, pendidikan dan kebajikan. Konvensyen Masjid turut dirancang sebagai platform wacana antara imam, ulama, umara, sarjana Islam dan teknokrat.
Dalam usaha memperluas dakwah dan penyebaran ilmu Islam ke peringkat antarabangsa, Yayasan Restu dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mencetak sejuta naskhah al-Quran dalam 30 bahasa utama dunia.



