KERAJAAN terus menunjukkan komitmen dalam memperkukuh sektor kreatif tanah air menerusi pelbagai insentif yang diumumkan dalam Belanjawan 2026, termasuk sokongan terhadap penerbitan filem, animasi dan kandungan digital tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejumlah RM110 juta disediakan sebagai insentif galakan kepada penerbit filem tempatan dan antarabangsa untuk menghasilkan karya seni berkualiti tinggi di Malaysia.
Selain itu, kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM10 juta masing-masing untuk penerbitan kandungan berunsur kenegaraan dan penganjuran konsert dalam negara.
Bagi memperkukuh sektor ekonomi jingga, khususnya dalam industri kreatif digital, kerajaan memperuntukkan RM20 juta bagi menyokong Ekosistem Kreatif Digital, merangkumi penggiat animasi dan permainan digital tempatan.
“Bagi menggalakkan usaha penggiat kreatif animasi tempatan, kerajaan bersetuju memberi kelonggaran perolehan kepada semua kementerian dan jabatan untuk memperoleh produk cenderamata (merchandise) dan kandungan digital,” jelasnya.



