KLUANG – Konsep ‘Maju Johor’ akan terus diberikan penekanan bagi kepentingan masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, kata Calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah.
Syed Hussien berkata, inisiatif itu seiring dengan matlamat Kerajaan Negeri Johor bagi menjaga kebajikan rakyat yang terdiri daripada golongan muda, warga emas, wanita dan kanak-kanak.
“Untuk makluman umum, kami di peringkat negeri telah menyasarkan konsep ‘Maju Johor’ ini antara perkara yang kita tekankan kerana dasar telah meliputi segala lapisan dan aspek untuk golongan yang berkeperluan baik termasuk golongan muda, warga emas, wanita dan kanak-kanak.
“Maka teras ‘Maju Johor’ ini akan kita usahakan di kawasan Mahkota,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Bersama Usahawan Tekun di Kampung Tengah di sini, hari ini.
Tajun lalu, Kerajaan Negeri Johor melancarkan agenda ‘Maju Johor’ yang merupakan satu inisiatif untuk merealisasikan hasrat menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang 2030.
Agenda itu dirangka dengan enam teras utama iaitu urusa tadbir kerajaan yang baik; pembangunan ekonomi; jaringan keselamatan sosial; kemudahan dan keperluan asas; keselamatan, kebersihan dan kelestarian alam serta orang muda Johor.
Ketika ditanya mengenai pengumuman manifesto yang bakal ditawarkan, beliau berkata perkara itu masih dalam perbincangan dan akan diberitahu kelak.
Syed Hussien berkata, memasuki hari keempat kempen berjalan, penerimaan penduduk semakin baik memandangkan hampir ke penghujung minggu pertama kempen.
Katanya, strategi kempen pada minggu kedua adalah sama iaitu pintu ke pintu bertemu dengan masyarakat sekitar secara lebih dekat.
“Alhamdulillah semua memberikan maklum balas yang baik dan kita akan teruskan lagi kempen ini secara berhemah dan senyum.
“Lebih 66,000 pengundi ini adalah jumlah yang sangat besar dan kita sasarkan golongan pertama daripada satu ke satu kumpulan mengikut kesesuaian keadaan semasa.
“Bagi kempen minggu kedua, kami akan mengekalkan konsep ‘door to door’ kerana bagi kami yang penting adalah ‘sentuhan’ di mana pengundi lebih selesa bertemu secara semuka dalam kelompok yang lebih kecil,” katanya.




