KLUANG – Pembangunan serta kemudahan usahawan akan diperkasakan untuk menstabilkan ekonomi mereka, ikrar Syed Hussien Syed Abdullah.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Mahkota itu berkata, usaha itu amat penting untuk dilaksanakan bagi membantu merancakkan ekonomi di negeri itu.
Syed Hussien berkata, beliau telah berbincang dengan pihak Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional untuk mencari kerjasama yang erat dalam membantu perkembangan perniagaan masyarakat.
“Jika diberikan peluang untuk membantu atau mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota ini sudah semestinya agenda usahawan sangat penting
“Sebentar tadi saya sudah pun berbual dan meminta pihak Tekun untuk memberikan satu kerjasama yang baik. Mungkin melalui saya atau terus kepada ahli sendiri pergi ke pejabat Tekun.
“Hubungan antara saya, agensi dan rakyat perlu kita rapatkan untuk kita memudahkan apa sahaja bantuan demi kebaikan rakyat di DUN Mahkota,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Bersama Usahawan Tekun di Kampung Tengah di sini yang turut dihadiri oleh Pengerusi Tekun Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.
Sementara itu, seorang usahawan, Rafeah Tasmin berharap agar calon yang bakal memimpin di DUN Mahkota mampu membantu golongan tersebut menyediakan lebih banyak peluang perniagaan seperti menyediakan tapak premis.

“Saya cadangkan Yang Berhormat (YB) menyediakan tapak premis khas untuk peniaga TEKUN supaya kami dapat berniaga dengan lebih mudah,” katanya.




