
KOTA KINABALU – Suria Capital Holdings Berhad menafikan sebarang kaitan dengan pusat beli-belah Suria Sabah Mall, susulan kekeliruan yang timbul dalam laporan media baru-baru ini berhubung operasi Terminal Feri Jesselton Point (JPFT).
Pengarah Urusan Kumpulan Suria Capital, Datuk Ng Kiat Ming berkata, kekeliruan itu berpunca daripada laporan tidak tepat yang mencadangkan pemindahan kawalan operasi JPFT kepada syarikat Easybook, serta mengaitkannya dengan Suria Sabah Mall.
Beliau menjelaskan, Suria Sabah Mall tidak mempunyai sebarang hubungan atau kaitan dengan Suria Capital, dan kedua-dua entiti itu adalah berasingan sepenuhnya.
“JPFT dikendalikan secara eksklusif oleh Suria Bumiria Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Suria Capital Holdings Berhad, dan bukannya oleh Suria Sabah atau mana-mana pihak lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Suria Capital, Jumaat.
Menurut Ng, Suria Capital merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dimiliki 51 peratus oleh Kerajaan Negeri Sabah dan 49 peratus oleh pemegang saham awam.
Jelasnya, fokus utama syarikat ialah pengurusan operasi pelabuhan melalui Sabah Ports Sdn Bhd yang mengendalikan lapan pelabuhan utama di seluruh negeri.
Katanya lagi, Suria Capital juga aktif dalam pembangunan hartanah, pembinaan serta infrastruktur berkaitan pelabuhan, seiring dengan aspirasi ekonomi dan pelancongan Sabah.
“Penjelasan ini penting bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai, khususnya susulan dakwaan dalam sidang DUN baru-baru ini dan ada laporan media yang secara salah menamakan Suria Sabah sebagai pengendali JPFT,” ujarnya.
Mengulas isu berkaitan sistem tiket dan caj terminal, Ng menegaskan tiada pemindahan pengurusan operasi dilakukan, malah dakwaan kenaikan mendadak caj terminal juga tidak benar dan berpotensi menjejaskan imej pelancongan negeri.
Sebaliknya, katanya, Suria Capital telah memperkenalkan sistem tempahan tiket baharu melalui platform Easybook, bagi meningkatkan keselamatan, kecekapan dan kemudahan kepada pengguna.
“Model perniagaan baharu juga telah diperkenalkan hasil rundingan dengan semua pengendali bot dan dipersetujui secara rasmi.
“Ia bertujuan memperkemas operasi dan menjamin ketelusan,” katanya.
Langkah itu, tambah beliau, turut diambil untuk membanteras aktiviti ulat tiket, memperbaiki pengurusan feri dan mewujudkan suasana terminal yang lebih tersusun dan kompetitif mengikut piawaian antarabangsa.
“Matlamat utama kami ialah melindungi industri pelancongan Sabah dan memastikan pengunjung menikmati perkhidmatan yang berkualiti dan berdaya saing,” katanya lagi.



