KERAJAAN Selangor sedang gigih berusaha mempercepatkan penempatan pegawai perubatan lantikan tetap di hospital dan klinik kerajaan seluruh negeri.
Exco Kesihatan Awam, Jamaliah Jamaluddin berkata, berikutan kebimbangan kekurangan doktor dan pakar, Kerajaan Negeri telah bertindak secara proaktif memperkukuh sistem kesihatan negeri memandangkan beban pesakit yang meningkat seiring kepadatan penduduk Selangor, negeri paling ramai penduduk.
“Kerajaan Negeri bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mempercepatkan proses penempatan pegawai perubatan tetap di fasiliti KKM di Selangor,” katanya dipetik Media Selangor, hari ini.
Pada 12 Julai, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengulangi komitmen KKM untuk mengekalkan warga kerja kesihatannya dalam sektor awam namun mengakui kuasa undang-undang yang terhad untuk menghalang mereka daripada meraih peluang di luar negara.
Dzulkefly berkata, usaha yang sedang dijalankan adalah pemberian insentif kepada kakitangan KKM untuk kekal berkhidmat dengan mempercepat proses penempatan tetap bagi doktor kontrak.
Kenyataan dibuat susulan laporan media hospital-hospital di Singapura merekrut profesional perubatan Malaysia dengan menawarkan gaji yang tinggi.
Justeru, Jamaliah berkata, Kerajaan Negeri kekal fokus mengenal pasti dan menangani cabaran utama dalam sistem kesihatan awam, khususnya kesesakan pesakit dan masa menunggu yang panjang.
Jelasnya, berdasarkan dapatan lawatan tapak ke lima hospital utama negeri ini, iaitu Hospital Sultan Idris Shah di Serdang, Hospital Tengku Permaisuri Norashikin di Kajang, Hospital Shah Alam, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang.
“Antara isu utama yang kami perhatikan ialah kesesakan pesakit dan waktu menunggu yang panjang, yang memerlukan perhatian segera,” katanya.
Jamaliah menambah, Kerajaan Negeri turut memperkukuh kerjasama dengan hospital awam, KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, termasuk memainkan peranan sokongan dalam menggalakkan penggunaan teknologi dan sistem penjagaan kesihatan terkini.
Menurutnya, permohonan juga telah dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan tambahan kakitangan, peralatan perubatan dan peningkatan kapasiti pengurusan.
Jamaliah turut mengalu-alukan inisiatif KKM mengurangkan masa menunggu melalui pelaksanaan sistem pengurusan kandungan berasaskan awan di 156 klinik kerajaan, yang menyasarkan rawatan 70 peratus pesakit dalam tempoh 30 minit.


