
PUTRAJAYA – Dakwaan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli bahawa surat beliau menolak menghadiri undangan merasmikan Kongres Pemuda Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita pada Khamis ini dibocorkan adalah tidak benar.
Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata, tuduhan itu disifatkan tidak bertepatan susulan bukan diterima hanya ‘eksklusif’ untuk pihaknya
dan Presiden, Datuk Seri, Anwar Ibrahim menerima surat tersebut.
“Tidak benar (surat Rafizi) ia hanya dihantar kepada presiden parti dan setiausaha agung.
“Malahan, kandungan surat tersebut tidak pernah bocor dari pejabat setiausaha agung (PKR),” katanya ringkas kepada The Malaysia Press (TMP), hari ini.

Terdahulu, Rafizi mendedahkan telah menghantar surat kepada Presiden PKR, bagi menyatakan pendirian beliau untuk tidak memenuhi jemputan sebagai perasmi kongres tersebut, walaupun ia telah dipersetujui sebelum ini.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa, perkara tersebut sepatutnya sulit kerana surat pemakluman yang dihantarnya hanya ditujukan kepada Presiden PKR, dan salinan kepada Fuziah.
Penyandang Ketua AMK, Adam Adli mengesahkan perkara itu dan telah menerima salinan surat berkenaan daripada Rafizi.
Beliau mengharapkan agar Rafizi dapat mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak merasmikan Kongres Nasional sayap AMK dan Wanita yang dijadualkan berlangsung pada 22 Mei ini.
Katanya, kehadiran penyandang Timbalan Presiden PKR Itu sebagai perasmi adalah penting bagi mengekalkan tradisi parti yang telah berlangsung sejak sekian lama.
Difahamkan, keputusan Menteri Ekonomi itu dikaitkan dengan peningkatan sokongan terhadap pencabarnya, Nurul Izzah Anwar yang juga anak kepada Presiden PKR dan Perdana Menteri, serta Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari yang dijangka kekal mempertahankan jawatan.
Turut dilaporkan, Rafizi tidak dijemput menghadiri majlis pelancaran jentera pilihan raya PKR Sabah di Kota Kinabalu semalam, yang dipercayai menambah ketegangan dalam kempen pemilihan parti.



