ALOR SETAR – UMNO Kedah menafikan segala bantuan dan sumbangan yang diberi kepada mangsa banjir pada musibah pada kali ini demi kepentingan politik.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, adalah seperti biasa menjadi tanggungjawab UMNO apabila berlaku bencana seperti banjir hari ini akan turun membantu mangsa tidak kira di mana sahaja.
Katanya, tiada siapa pun mahu mempolitikkan isu kemanusiaan bagi mengurus bencana terutamanya banjir, namun UMNO Kedah kesal dengan sikap acuh tak acuh yang diambil oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor gagal untuk pulang lebih awal mengurus bencana.
“Ini bukan soal proses sedia ada, sama ada telah pun dikawal selia dengan baik atau tidak. Sebaliknya ia menunjukkan kegagalan Sanusi memberi ‘prioriti’ beliau sebagai pemimpin. Rakyat yang menghadapi musibah mahu pemimpin itu bersama mereka di saat menghadapi kesusahan.
“UMNO Kedah turut melihat ‘keangkuhan’ Menteri Besar dan pejabatnya yang menafikan teguran dan kekecewaan netizen yang rata-ratanya mahu pemimpin ‘The Greatest’ itu berada di samping mereka,” katanya.
Di samping itu UMNO ingin menasihatkan Sanusi agar memberikan sepenuhnya perhatian bagi menyiapkan loji-loji sedia adayang difahamkan masih lagi menghadapi kelewatan yang sangat ketara.
Jelas Shaiful Hazizy lagi, tanpa menafikan keperluan masalah air di Langkawi kerajaan negeri hari ini perlu mengatasinya dengan segera.
Bagaimanapun UMNO Kedah ingin menasihati Sanusi mencari kaedah lain cepat dan realistik.
Dalam masa sama, UMNO Kedah juga ingin menasihati Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Yahya agar tidak ghairah sangat sehingga hilang pertimbangan seumpama pembelaan melulu sebelum ini apabila Sanusi berkaraoke selewat jam 2 pagi bersama perempuan yang bukan muhrimnya.
“Bak kata orang lama-lama yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Semoga kita mengambil ikhtibar daripada segala yang berlaku,” katanya.




