
YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan keyakinan bahawa hubungan Malaysia dengan China akan bertambah kukuh walaupun menghadapi cabaran geopolitik global.
Sultan Ibrahim bertitah supaya Malaysia menitikberatkan integrasi ekonomi, pengukuhan kolaborasi rantaian bekalan dan perindustrian serta menegakkan prinsip hormat dan manfaat bersama dalam penglibatan dengan semua rakan kongsi, termasuk China.
“Saya percaya terdapat potensi besar untuk syarikat dan pelabur China untuk meneroka peluang di sini kerana ia selari dengan kepentingan ketersambungan serantau dan pembangunan berkualiti tinggi di bawah Inisiatif ‘Belt and Road’ oleh China.
“Dengan insentif strategik yang kukuh serta lokasi yang baik, Hab Kewangan Khas Forest City di dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) telah muncul sebagai antara lokasi pelaburan utama rantau ini,” titah Sultan Ibrahim.
Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika berucap pada pertemuan bersama Xi Jinping, Presiden Republik Rakyat China, di Istana Negara pada Rabu bersempena lawatan negara ke Malaysia.
Dalam pada itu, baginda juga menjemput Kerajaan China untuk menyokong pertukaran bahasa yang lebih meluas antara kedua-dua negara.
Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam perkongsian terbaharu di laman sosial Facebook pada Rabu.
“Jumlah pertukaran pelajar antara negara kita telah meningkat dan kita berhasrat untuk menghantar lebih ramai lagi penuntut kita ke China untuk bertukar ilmu kebudayaan seiring dengan pembelajaran mereka.
“Saya percaya bahasa adalah jambatan penting dalam mengukuhkan hubungan dua hala dan saya berhasrat untuk giat mempromosikan Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di Beijing Foreign Studies University (BFSU),” titah Sultan Ibrahim.







