
MENARA Kuala Lumpur akan ditutup buat sementara waktu mulai hari ini (17 April) demi keselamatan dan keselesaan pengunjung serta membolehkan pengurusan baharu menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan.
Kementerian Komunikasi, dalam satu kenyataan berkata, tarikh pembukaan semula menara salah satu struktur telekomunikasi tertinggi di dunia akan diumumkan melalui pelbagai saluran media.
“Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Komunikasi menegaskan bahawa Menara Kuala Lumpur ialah milik kerajaan.
“Bermula 1 April 2025, pengoperasian, pengurusan dan penyelenggaraan Menara Kuala Lumpur telah diambil alih oleh syarikat LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM),” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, pendudukan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) berterusan di premis Menara KL selepas 31 Mac 2025, adalah tanpa kebenaran.
“Sehubungan itu, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan telah mengeluarkan dua notis pengosongan kepada MKLSB melalui surat bertarikh 3 April dan 9 April 2025.
“Oleh itu, sebarang operasi dan transaksi yang sedang dijalankan oleh MKLSB tidak mendapat kebenaran kerajaan,” katanya.
Pada 31 Mac lalu, kementerian menyatakan dalam soalan lazim (FAQ) berhubung konsesi pengurusan Menara KL bahawa pengambilalihan itu tidak akan menjejaskan operasi atau kakitangan menara itu.
Kementerian itu berkata perbincangan dengan syarikat konsesi baharu, LSHSM, menggariskan terma bagi memastikan operasi diteruskan seperti biasa.







