
MIRI – Ketua Delegat Teknikal Jawatankuasa Teknikal Pencak Silat, Kamarul Ariffin membenarkan semua penonton masuk semula dengan mematuhi syarat bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir dan akhir sukan pencak silat di Stadium Bandaraya Miri hari ini.
Menurut Kamarul, keputusan ini dibuat setelah mempertimbangkan penonton yang datang dari jauh seperti Semenanjung Malaysia, Sabah dan beberapa bahagian lain di Sarawak.
“Jawatankuasa teknikal dan keselamatan bersetuju menetapkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh penonton untuk menyaksikan perlawanan ini.
“Syarat pertama adalah penonton tidak dibenarkan membawa masuk makanan dan minuman ke dalam stadium.
“Untuk syarat kedua, penonton tidak dibenarkan berada di kawasan belakang urusetia teknikal dan sistem scoring perlawanan.
“Syarat ketiga adalah kontinjen hendak berada di tempat khas disediakan untuk kontijen sahaja.” katanya
Difahamkan, penonton tidak dibenarkan menonton perlawanan sukan pencak silat selepas insiden membaling botol air ke galanggang pada petang rabu.
Pihak PDRM akan menjaga keselamatan di luar dan dalam stadium untuk memastikan tiada perkara yang tidak diingini berlaku.








