“SAYA seikhlas hati dengan penuh rasa rendah diri memohon maaf kepada keluarga mangsa dan semua pihak atas apa yang berlaku.”
Itu kata suami kepada wanita yang merempuh dua buah motosikal dinaiki empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu, sehingga meragut tiga nyawa malam Rabu lalu.
Dia berkata, hatinya meronta mahu bertemu keluarga mangsa untuk memohon maaf bagi pihak isterinya sejurus kejadian, namun dinasihatkan rakan serta pihak polis supaya menunggu sehingga keadaan reda.
“Pagi semalam, saya sekali lagi mahu ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk bertemu keluarga mangsa.
“Namun, sekali lagi rakan serta pihak polis menasihatkan agar ditangguhkan dahulu.
“Bimbang niat baik saya disalah erti dan boleh mencetuskan situasi tidak diingini,” katanya ketika ditemui di Kampung Sura Hujung, Dungun, hari ini, lapor Kosmo!.
Menceritakan semula kejadian, suami suspek mendakwa hanya menyedari isterinya keluar dengan memandu kenderaan Honda CR-V selepas dia dan anak lelakinya selesai solat Maghrib.
Bapa kepada tiga anak itu mendakwa, dia cemas apabila mendapati pintu pagar rumah mereka terbuka luas, manakala kereta diletakkan di depan rumah tiada.
“Sebelum kejadian, saya dan anak lelaki menunaikan solat Maghrib sementara isteri pula menonton televisyen di ruang tamu.
“Saya sebenarnya sudah sorok kunci kereta, tidak tahu bagaimana dia boleh jumpa,” katanya.





