
IPOH – Stadium Perak dijangka kembali beroperasi sepenuhnya menjelang September depan susulan kerja-kerja penukaran rumput dan penambahbaikan padang yang kini berada pada fasa akhir pelaksanaan.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, setakat ini kemajuan fizikal projek telah mencapai kira-kira 75 peratus dengan sedikit kelewatan sekitar 10 peratus berbanding jadual asal berikutan pelaksanaan kerja tambahan serta penyelarasan teknikal di tapak.
Menurutnya, walaupun kerja utama dijangka siap sekitar akhir Mac atau April, penyelenggaraan dan pemantauan rapi masih akan diteruskan termasuk tempoh pematangan rumput selama tiga hingga empat bulan sebelum padang benar-benar bersedia digunakan secara optimum.
“Kerja naik taraf yang sedang berjalan termasuk pemasangan rumput Axonopus Putra, pengubahsuaian sistem saliran bawah tanah dan pemasangan sistem siraman automatik jenis ‘pop-up sprinkler’.
“Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyediakan peruntukan tambahan RM413,000 bagi pemasangan sistem siraman automatik ini yang tidak termasuk dalam skop asal projek. Ia bagi menggantikan kaedah siraman manual yang sebelum ini bergantung sepenuhnya kepada tenaga kerja,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke stadium berkenaan di sini pada Isnin.
Sandrea berkata, keputusan menambah sistem siraman automatik dibuat selepas semakan teknikal mendapati pemasangan perlu dilakukan lebih awal sebelum penanaman rumput bagi mengelakkan risiko kerosakan struktur padang serta kos pembaikan pada masa hadapan.
Beliau menjelaskan, walaupun kerja fizikal dijangka selesai dalam tempoh terdekat, proses penyelenggaraan berkala termasuk pemantauan sistem pengairan, saliran dan pertumbuhan rumput akan terus dilaksanakan sehingga September bagi memastikan padang mencapai tahap kualiti terbaik untuk perlawanan kompetitif.
“Kita jangkakan sekitar bulan September, keseluruhan kerja naik taraf termasuk tempoh pematangan rumput akan selesai dan stadium bersedia dibuka semula untuk perlawanan bola sepak serta aktiviti sukan lain,” katanya.
Projek naik taraf yang bermula Jun tahun lalu itu merupakan usaha bersama membabitkan peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), MBI dan Kerajaan Negeri Perak dengan kos keseluruhan melebihi RM1.2 juta termasuk kerja tambahan pemasangan sistem sprinkler.
Mengulas pemilihan rumput, beliau berkata penggunaan Axonopus Putra menggantikan cadangan asal Zeon Zoysia dibuat berdasarkan kajian teknikal dan pengalaman negeri lain termasuk Terengganu yang berdepan isu penyelenggaraan serta kesesuaian permukaan padang.
Stadium Perak ditutup sejak penghujung Oktober 2024 bagi membolehkan kerja pembaikan menyeluruh dilakukan, khususnya bagi menangani masalah air bertakung yang menjejaskan kualiti padang sebelum ini.







