
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan didalangi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang beroperasi di selatan tanah air menerusi Ops Sohor, baru-baru ini.
Operasi khas yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM dengan kerjasama pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) itu membawa kepada penahanan lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam berusia 30 hingga 55 tahun di sekitar Lembah Klang.
Sumber memaklumkan, empat daripada pegawai kanan tersebut termasuk dua pegawai perisikan dan dua bekas anggota ATM, disyaki menjadi dalang utama dalam bersubahat dengan sindiket penyeludup yang aktif sejak lima tahun lalu.
“Pegawai-pegawai kanan tentera tersebut dipercayai bersubahat dan membocorkan maklumat-maklumat operasi kepada sindiket penyeludupan bagi mengelakkan sindiket terbabit daripada dikenakan tindakan.
“Mereka dipercayai mengumpul hasil rasuah melebihi RM3 juta hasil perlindungan yang diberikan kepada sindiket. Rangkaian penglibatan pegawai-pegawai kanan tentera terbabit di dalam sindiket tersebut adalah besar dan kompleks.
“Barang seludup yang dibawa masuk ke negara ini adalah terdiri daripada dadah, rokok dan barang-barang lain dari negara-negara jiran dengan membabitkan nilai barangan yang diseludup sebanyak RM5 juta sebulan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.
Mengulas lanjut, sumber menegaskan, menerusi intipan dijalankan SPRM selama setahun, bayaran rasuah yang diberikan kepada pegawai-pegawai kanan tentera itu dipercayai berjumlah di antara RM30,000 sehingga RM50,000 bagi setiap kali aktiviti penyeludupan dijalankan sindiket.
“Kita turut menemui sejumlah wang tunai bernilai lebih RM63,200 selain beberapa bungkusan dipercayai dadah, alat penimbang dan penyukat, minuman keras dan senjata tiruan di premis-premis serbuan dan disita.
“Pada masa sama, SPRM juga turun menahan seorang wanita warganegara Indonesia yang tidak memiliki dokumen sah ketika serbuan dijalankan. Kita percaya dia dijadikan wanita simpanan kepada salah seorang pegawai kanan tentera yang disyaki,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan, kes disiasat di bawah seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Katanya, kesemua saspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah
“Tindakan terbabit wajar diambil serius oleh semua pihak kerana ianya melibatkan penyeludupan yang berupaya menjejaskan keselamatan negara.
“Walaupun kita mempunyai pelbagai agensi untuk memantau dan mengambil tindakan, namun kegiatan penyeludupan tetap berlaku,” katanya.





