KUCHING – Komitmen memperkasa modal insan Sarawak terus diperkukuh apabila SOCOE Holdings Sdn Bhd tampil menyokong Showcase Projek Tahun Akhir (FYP) anjuran Fakulti Kejuruteraan, Pengkomputeran dan Sains (FECS), Swinburne University of Technology Kampus Sarawak, yang berlangsung pada 29 Mei lalu.
Program yang bertemakan ‘People in STEM Can Work Together to Build a Better World’ itu menghimpunkan lebih 50 projek inovatif hasil penyelidikan pelajar tahun akhir dalam bidang teknologi, sains dan kejuruteraan.
Sebagai rakan industri strategik, SOCOE bukan sahaja memberikan sokongan teknikal dan pendedahan industri, malah turut menaja lapan anugerah khas sebagai penghargaan kepada pencapaian cemerlang pelajar.
“Ini bukan sekadar penajaan, tetapi pelaburan terhadap generasi masa depan Sarawak. Kami ingin membantu pelajar menukar ilmu kepada tindakan, dan impian kepada pencapaian yang memberi impak,” kata Pengarah Urusan SOCOE, JW Sam.
Anugerah yang disampaikan merangkumi tiga kategori kumpulan iaitu Best Group Award for Computer Science, Best Group Award for Science, dan Best Achiever’s Award for Computer Science, serta lima anugerah individu bagi pelajar terbaik dalam jurusan Robotik & Mekatronik, Awam, Mekanikal, Kimia dan Elektrikal & Elektronik.
Sementara itu, Dekan FECS, Ir. Profesor Su Hieng Tiong menyifatkan kerjasama dengan SOCOE sebagai bukti kejayaan pendekatan pendidikan yang menggabungkan teori dan amalan dunia sebenar.
“Kami sentiasa komited melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga bersedia menyumbang secara langsung kepada pembangunan masyarakat,” katanya.
Inisiatif ini turut menyokong aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya dalam memperkasa tenaga kerja mahir dan berdaya saing di peringkat global.






