PUTRAJAYA – Pelbagai aset dan barangan mewah bernilai RM32 juta disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai daripada seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri.
Sumber berkata, sitaan itu membabitkan tas tangan, barangan kemas, kenderaan mewah, jam tangan, wang tunai serta kediaman mewah.
Kata sumber, SPRM bertindak susulan siasatan melibatkan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.
“Sitaan ini susulan penggeledahan Bahagian Siasatan SPRM di dua kediaman milik individu berkenaan yang terletak di ibu negara semalam.
“Menerusi penggeledahan ini, SPRM menyita 217 unit jam tangan mewah pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM5 juta, 27 unit tas tangan dengan nilai lebih RM1 juta dan barang kemas lebih RM4 juta.
“SPRM turut menyita sembilan unit kenderaan mewah seperti Bentley, Mercedes-Benz dan Range Rover bernilai hampir RM7 juta,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Sumber berkata, susulan penggeledahan itu, SPRM turut menemui sebuah stor simpanan pelbagai jenis minuman berakohol mewah di salah sebuah kediaman dianggarkan bernilai RM3 juta.
Jelasnya, perolehan minuman berakohol mewah itu dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti penggubahan wang haram.
Katanya lagi, SPRM turut membuat sitaan ke atas sebuah unit kediaman mewah terletak di ibu negara dianggarkan bernilai sekitar RM12 juta dipercayai milik individu sama.
“Kesemua barang dan aset disita bagi tujuan siasatan lanjut mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001,” jelasnya.






