
KOTA KINABALU – Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) di bawah Jabatan Ketua Menteri menubuhkan Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas bagi meneliti maklum balas komuniti perniagaan dan industri negeri ini.
Langkah itu susulan penerimaan pelbagai pandangan daripada peserta Forum dan Townhall Hala Tuju Pelan Pembangunan SMJ 2.0 (2026–2030) yang diadakan di Tuaran baru-baru ini.
Menurut kenyataan media Sekretariat SMJ, forum berkenaan menekankan tema “SMJ 2.0: Repositioning Sabah Youth From Economic Consumers to Economic Creators”, dengan fokus kepada daya saing sektor swasta, keusahawanan belia, ekonomi digital, pembangunan bakat serta kecekapan kawal selia.
“Penubuhan Pasukan Petugas Khas membolehkan kami menangani setiap maklum balas secara sistematik dan menjadikannya sebahagian daripada dasar yang boleh dilaksanakan.
“Ia juga membantu kami memahami cabaran sebenar yang dihadapi sektor swasta serta peluang untuk memacu pembangunan ekonomi negeri,” katanya.

Forum tersebut turut membuka ruang kepada wakil industri, dewan perniagaan, PKS dan pemimpin belia untuk menyuarakan pandangan mereka secara langsung, sekali gus menyokong usaha membina ekosistem ekonomi yang lebih kukuh dan inklusif.
“Pasukan Petugas Khas juga akan memastikan penyelarasan antara agensi kerajaan dan pihak industri berjalan lancar.
“Pendekatan ini mempercepat pelaksanaan inisiatif ekonomi digital, inovasi dan keusahawanan belia, sambil mengurangkan pertindihan tugas antara agensi,” ujarnya.
Segala hasil perbincangan akan didokumentasikan dan dibentangkan semasa pelancaran rasmi Pelan Pembangunan SMJ 2.0 oleh Ketua Menteri Sabah pada 30 Januari 2026.
Forum separuh hari itu menghimpunkan wakil persatuan industri, dewan perniagaan, badan profesional, pemimpin perniagaan muda serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berkongsi pandangan mereka mengenai hala tuju ekonomi Sabah bagi tempoh lima tahun akan datang.





