HANYA dua kemungkinan boleh disimpulkan berkaitan isu khutbah Jumaat di Melaka baru-baru ini, pertama, kakitangan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bekerja secara ‘cincai’; kedua, sememangnya ada unsur ‘api dalam sekam’ dalam jabatan itu.
Kalau kemungkinan pertama itulah hakikatnya, nampak sangat pihak berkenaan tidak akur kepada kesungguhan Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan memberi insentif dan membela nasib mereka.
Dengan perkataan yang lain, mereka bersikap seperti ‘diberi madu dibalas tuba’. Itu sangat mengecewakan.
Alasan bahawa tersilap menyediakan slaid yang memaparkan gambar dan kata-kata Presiden Pas serta slaid yang memaparkan gambar Yang di-Pertuan Agong yang lalu merupakan kesilapan besar.
Slaid bergambar yang mengandungi ungkapan tertentu itu objek yang besar, bukannya sebiji dua antah dalam seguni beras yang jika diuruskan dengan teliti, dapat dielakkan.
Itu bermakna tiada ketelitian. Apabila tiada ketelitian maknanya kerja itu ‘cincai’ – buat kerja ‘hadas-badas’ kata orang tua-tua di daerah tertentu di Terengganu.
Kalaulah impak ketidaktelitian itu kecil, boleh juga disenyapkan, tetapi ini kesilapan besar; boleh mengundang pelbagai persepsi umum kepada JAIM dan Kerajaan Melaka.
Ada penyokong pembangkang berkata begini; “Dengan gambar dan kata-kata ringkas Presiden Pas pun mereka gentar”.
Sebenarnya, itu bukan isu gentar. Apa yang perlu digentarkan sangat kepada Presiden Pas yang kita tahu sekadar makan gaji buta ketika menjadi Duta Timur Tengah dulu?
Isunya sekarang ialah kakitangan JAIM yang terlibat dengan isu itu tidak melaksanakan kerja dengan lebih bertanggungjawab iaitu ‘buat kerja asalkan siap’.
Itu sangat tidak bagus!
Bukan itu sahaja, sebaliknya kerja sedemikian menunjukkan contoh yang sangat tidak baik kepada bakal penjawat awam lebih-lebih lagi JAIM itu institusi pentadbiran agama.
Lagi satu, pelantikan Yang di-Pertuan Agong yang baharu ini bukannya baru beberapa hari berlaku. Pertabalan baginda pun sudah makan masa beberapa bulan.
Oleh sebab itu, apabila timbul kes berkenaan, orang ramai tertanya-tanya, itu kesilapan atau kesengajaan.
Sekiranya itu merupakan kesengajaan, bermakna betullah sangkaan sesetengah pihak bahawa dalam organisasi awam masih banyak musang berbulu ayam.
Keadaan seumpama itu kalau benar-benar berlaku, akan terus menjadi barah kepada kerajaan kerana banyak kerja tergendala dan fokus pentadbiran terjejas.
Bagi membendung wabak ini berleluasa, dicadangkan semua kementerian melakukan proses pembersihan dengan cara yang selaras dengan peruntukan sedia ada.
Jangan biarkan hal seumpama itu berterusan kerana isu sedemikian sangat berimpak buruk kepada kerajaan dalam usaha memajukan negara dan mensejahterakan rakyat.
Ingat, musang sangat cepat membiak dalam sesebuah agensi, pejabat, jabatan, serta kementerian dan itu tidak boleh dibiarkan.
Maka, bertindaklah segera. Jangan sudah terhantuk baru tengadah!





