
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini menelusuri aliran dana luar negara dianggarkan melebihi AS$51.3 juta (RM203.65 juta) yang dikaitkan dengan seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun kerajaan.
Siasatan itu susulan urus niaga penjualan saham menggunakan dana awam yang dipercayai mengakibatkan kerugian lebih RM300 juta.
Menurut sumber, dana berkenaan dikesan dipindahkan ke sebuah syarikat pelaburan yang ditubuhkan di British Virgin Islands (BVI), dipercayai bertindak sebagai proksi kepada individu terbabit.
Malah, sebahagian daripada dana itu dipercayai dilaburkan semula dalam syarikat tersenarai awam di Bursa Malaysia, dengan anggaran sekitar RM30 juta bagi menyamarkan aliran kewangan sebagai pelaburan sah.
“SPRM juga masih mengesan pemilik benefisial yang mendapat manfaat hasil penjualan saham itu selain mengesan bayaran dibuat kepada beberapa kumpulan.
“Individu terbabit dipercayai menetapkan terma dan harga pembelian saham serta bertindak sebagai pencadang dan pelulus dalam rundingan tertutup dengan pemegang saham minoriti, sekali gus mempunyai kawalan penuh dalam keseluruhan proses itu,” katanya, pada Ahad.
Mengulas lanjut, sumber memaklumkan, siasatan awal turut menunjukkan elemen penerimaan rasuah dan pengubahan wang haram melalui pemindahan hasil transaksi ke entiti luar pesisir.
Menurut beliau, tindakan itu dilakukan bagi menyembunyikan identiti penerima termasuk penggunaan akaun penama dan pemilik benefisial.
“Susulan itu, aliran dana dikesan membabitkan enam akaun bank di Singapura dengan enam transaksi berjumlah lebih AS$48 juta (RM192 juta).
“Selain satu transaksi sekitar AS$3.3 juta (RM13 juta) di Labuan yang membabitkan dua pemilik benefisial syarikat yang menerima bayaran daripada dana awam,” katanya.
Dalam pada itu, sumber berkata, siasatan turut membabitkan dua akaun bank di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dipercayai milik bekas CEO berkenaan.
“Siasatan turut membabitkan dua akaun bank di UAE yang dipercayai milik bekas CEO berkenaan, membabitkan kira-kira AS$10,000 dan AED37,000 (kira-kira RM80,000).
“Enam lagi akaun individu bernilai RM11 juta dibekukan menjadikan keseluruhan pembekuan kira-kira RM16.8 juta,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, ketika dihubungi mengesahkan siasatan masih berjalan.
“SPRM sedang memperluas skop siasatan termasuk mendapatkan kerjasama pihak berkuasa luar negara seperti Singapura, BVI, UAE serta Labuan bagi meneliti transaksi rentas sempadan dan mengesan aset berkaitan,”, katanya.
Untuk rekod, bekas CEO terbabit bersama seorang pengerusi syarikat disambung reman lima hari bagi membantu siasatan kes urus niaga penjualan saham kepada badan berkanun, selepas tempoh reman empat hari sebelum ini tamat.
Perintah reman sehingga 16 April itu dikeluarkan Majistret Ainul Izzati Mohd Jamili di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas permohonan dibuat SPRM sebaik tempoh reman asal tamat.
Siasatan awal SPRM mendapati kedua-dua suspek berusia lingkungan 40-an dan 50-an disyaki bersubahat bersama beberapa ahli lembaga pengarah serta pemegang saham sebuah syarikat dalam urus niaga penjualan saham kepada badan berkanun itu.
Siasatan turut mendapati urus niaga itu dipercayai membabitkan penilaian harga tidak munasabah sehingga menyebabkan kerugian kepada dana awam dianggarkan melebihi RM300 juta.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.








