‘Single Gatekeeper’ masih relevan, benteng pastikan keterjaminan beras

KUALA LUMPUR – Dasar ‘Single Gatekeeper’ bagi pengimportan beras yang dilaksanakan melalui Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) kekal penting dan relevan dalam melindungi industri strategik negara, terutama dalam menyediakan sumber bekalan makanan utama iaitu beras.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia mengambil kira keadaan dunia hari ini yang berdepan pelbagai cabaran yang memberi kesan langsung kepada isu bekalan makanan.

Menurut beliau, antara cabaran yang dihadapi adalah perubahan iklim yang menyaksikan fenomena cuaca ekstrem seperti kemarau berpanjangan di samping banjir besar di negara-negara pengeluar beras utama seperti India, Thailand dan Vietnam sehingga boleh menyebabkan penurunan hasil tuaian secara mendadak.

“Selain itu, isu ketegangan geopolitik dengan konflik serantau atau global boleh mengganggu laluan perkapalan dan rantaian bekalan, menyebabkan kos logistik meningkat atau bekalan terputus; serta dasar perlindungan atau ‘protectionism’.

“Di mana negara pengeluar mungkin secara tiba-tiba menyekat atau mengenakan cukai eksport tinggi untuk melindungi bekalan domestik mereka, sepertimana pernah dilakukan India. Dalam situasi yang dinyatakan ini, kewujudan ‘Single Gatekeeper’ membolehkan Malaysia bertindak secara bersepadu dan strategik,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad menegaskan, BERNAS boleh menggunakan hubungan jangka panjangnya dengan pelbagai negara pembekal untuk merundingkan perolehan beras bagi pihak Malaysia demi memastikan bekalan tidak terjejas secara drastik.

“Tanpa entiti tunggal ini, syarikat-syarikat import yang lebih kecil mungkin tidak mempunyai ‘bargaining power’ atau kemampuan untuk mencari sumber alternatif dengan pantas, lantas mendedahkan Malaysia kepada risiko kekurangan bekalan atau lonjakan harga yang melampau,” katanya melalui jawapan bertulis disiarkan melalui laman web Parlimen.

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Ahli Parlimen (BN) Putatan, Datuk Shahelmey sama ada kementerian telah memuktamadkan negara pengimport alternatif dengan mutu penghasilan beras berkualiti tinggi sebagai ‘Pelan B’ bagi mengekalkan kelangsungan bekalan beras import untuk pasaran tempatan rentetan kemelut geopolitik India-Pakistan selaku antara dua negara pengeksport beras signifikan ke Malaysia.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, KPKM akan memastikan BERNAS sentiasa mengamalkan dasar kepelbagaian sumber dalam pengimportan beras bagi mengurangkan risiko kebergantungan kepada mana-mana satu negara pembekal.

Menurut beliau, negara sumber utama bagi pembekalan beras putih import termasuklah Thailand, Vietnam, India, Pakistan, Myanmar dan Kemboja.

“Strategi yang digunakan ini membolehkan BERNAS menyesuaikan pembelian berdasarkan perkembangan harga pasaran dan juga dasar eksport semasa negara pembekal berkenaan.

“Dalam hal ini, pihak BERNAS komited memperkukuh strategi pengimportan beras putih melalui pemantauan pasaran secara aktif, giat meneroka sumber dari pelbagai negara dan melaksanakan dasar perundingan harga yang kompetitif,” katanya.

Related Posts

Naratif lapuk Himpunan 1 Mei jejaskan kematangan wacana antirasuah

DALAM keghairahan mengangkat isu rasuah sempena Himpunan Pekerja 1 Mei, sebahagian tuntutan yang dikemukakan dilihat gagal mengambil kira perkembangan semasa, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kerelevanan persepsi yang dimainkan. Antara…

Lebih lanjut

teruskan membaca
MINDA TOK ABAH: Tanggungjawab dan keberanian negarawan insani

KITA telah berbicara tentang seorang negarawan yang tidak pernah benar-benar menjauh daripada rakyat. Negarawan yang memahami politik bukan sekadar sebagai permainan kuasa, tetapi sebagai perjalanan panjang yang dibentuk oleh pengalaman.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Dari Vietnam ke Sabah, air mata iringi perjuangan suami bawa pulang isteri sakit

Dari Vietnam ke Sabah, air mata iringi perjuangan suami bawa pulang isteri sakit

FAMA laksana intervensi pasaran untuk stabil harga cili merah

FAMA laksana intervensi pasaran untuk stabil harga cili merah

Naratif lapuk Himpunan 1 Mei jejaskan kematangan wacana antirasuah

Naratif lapuk Himpunan 1 Mei jejaskan kematangan wacana antirasuah

MINDA TOK ABAH: Tanggungjawab dan keberanian negarawan insani

MINDA TOK ABAH: Tanggungjawab dan keberanian negarawan insani

Rasionalisasi penyelarasan perbelanjaan kerajaan

Rasionalisasi penyelarasan perbelanjaan kerajaan

Peniaga alami kerugian, kecewa Himpunan 1 Mei jadikan masjid tempat berkumpul

Peniaga alami kerugian, kecewa Himpunan 1 Mei jadikan masjid tempat berkumpul