KUANTAN – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang bersama-sama membacakan Al-Fatihah kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir sebagai tanda simpati dan kebersamaan Kerajaan Negeri Pahang.
Beliau berkata, ia sebagai doa simpati dan tanda kebersamaan Kerajaan Negeri Pahang bersama keluarga Allahyarhamah Zara Qairina.
Sebelum ini Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar semua masjid dan surau di negeri ini mengadakan solat hajat khas bertujuan memohon kelancaran proses keadilan buat Allahyarhamah Zara Qairina serta memastikan kebenaran ditegakkan.
Zara Qairina dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama perempuan di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu sehari selepas insiden itu.
Kes ini mendapat perhatian meluas, terutamanya di media sosial, selepas timbul dakwaan wujud unsur buli di sekolah berkenaan.




