SIBU – Sibu dipilih menjadi tuan rumah Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2024 dengan tema ‘Jiwa Merdeka’.
Seramai 1,500 peserta dijangka akan terlibat dengan acara utama di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) pada 31 Ogos ini. Tema kali ini menekankan kepentingan semangat kemerdekaan dalam setiap aspek kehidupan.
Menurut Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Sri John Sikie Tayai, tema kemerdekaan pada kali ini melambangkan keberanian dan ketahanan golongan perwira yang berkorban bagi memastikan kita menikmati kebebasan dan martabat demi negara berdaulat.
“Terdapat tiga acara utama yang akan dianjurkan oleh Unit Protokol, Majlis dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS). Segmen pertama sambutan akan dimulakan dengan Konsert Ambang Hari Kebangsaan pada 30 Ogos pada pukul 8 malam di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang,” jelas beliau.
Menariknya, konsert ini bakal menampilkan persembahan etnik kreatif oleh D’Sibu Tari, muzik pop dan jazz oleh Okestra Simfoni Negeri Sarawak (SONS) serta persembahan dari artis tempatanseperti Floor 88, Firdaus Materang, Ng Chien Chien, Sazia Selair dan Mal Imran.
Selain itu, acara Fun Walk yang bermula pada 7 pagi dari Dataran Tun Tuanku Bujang. Sasaran kehadiran adalah sekitar 5,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Tetamu kehormat yang dijangka hadir ialah Tun Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg”, ujarnya selepas menghadiri mesyuarat Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak 2024, hari ini.
Seterusnya, acara kemuncak pada 31 Ogos adalah Majlis Hari Kebangsaan yang akan diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) pada 11 pagi.
Beliau turut menyeru agar warga tempatan hadir memeriahkan sambutan serta mengibarkan bendera Jalur Gemilang dan Ibu Pertiwi di premis masing-masing untuk menyemarakan lagi suasana sambutan pada tahun ini.






