SANDAKAN – Kejohanan KLK Borneo Sevens 2025 melabuhkan tirai dengan penuh bergaya apabila pasukan baharu dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Shaheen 7s dan kelab ragbi wanita dari China, Hua Gan Guo Ji RC masing-masing dinobatkan sebagai juara bagi kategori lelaki dan wanita.
Aksi final kategori lelaki menyaksikan Shaheen 7s menewaskan pasukan tuan rumah, Borneo Eagles dengan keputusan 24-19 dalam perlawanan sengit yang berlangsung di Kelab Ragbi Eagles, Bandar Utama di sini.
Pada separuh masa pertama, Borneo Eagles mendahului dengan 14-10 hasil dua cubaan dan dua ‘conversion’, manakala Shaheen 7s turut membalas dengan dua cubaan.
Namun, di separuh masa kedua, pasukan dari UAE itu bangkit mempamerkan aksi bertenaga dan mencatat cubaan penting pada saat-saat akhir bagi memastikan kejuaraan sulung mereka dalam penampilan pertama di kejohanan ini.
Wakil pasukan, Sultan Ahli menyifatkan kejayaan itu sebagai pengalaman yang sangat bermakna buat pasukannya.
“Pengalaman ini sangat bermakna buat kami. Sejak hari pertama, saya sudah ingatkan rakan sepasukan bahawa kami bukan datang sekadar melengkapkan bilangan, sebaliknya hadir untuk bersaing dan hari ini kami membuktikannya,” katanya.
Sementara itu, kategori wanita menyaksikan pasukan Hua Gan Guo Ji RC menampilkan aksi dominan apabila menewaskan Borneo Flyers dengan keputusan 22-10 dalam perlawanan akhir.
Pasukan dari China itu menguasai permainan seawal wisel permulaan walaupun kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan pantas dan berintensiti tinggi.
Wakil pasukan, Wang XinYao melahirkan rasa bangga atas kejayaan tersebut.
“Kami sangat berbesar hati dapat bertanding di venue ini. Usaha gigih rakan sepasukan membuahkan hasil dan kami sangat berbangga dapat merangkul kejuaraan,” katanya.
Mengulas lanjut, Wang berkata penyertaan mereka pada edisi akan datang bergantung kepada jadual kelab kerana pasukan bakal pulang ke China untuk persiapan menghadapi Sukan Kebangsaan.

Majlis penutup disempurnakan oleh Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Kedua-dua juara membawa pulang Trofi Cabaran serta wang tunai USD5,000 manakala naib juara masing-masing menerima USD2,000.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur yang juga Presiden Kelab Ragbi Eagles Sandakan, Vela Tan menyifatkan kejohanan edisi kali ini sebagai satu kejayaan besar meskipun berdepan beberapa cabaran penganjuran.
“Aksi yang dipamerkan sangat sengit dan berkualiti tinggi, seiring dengan matlamat kami untuk menjadikan kejohanan ini antara yang terbaik dalam kalendar Ragbi Sevens kelab di Asia.
“Ini mungkin penyertaan pertama dari UAE di rantau ini dan mereka berjaya mencatat keputusan yang sangat membanggakan. Tahniah diucapkan,” ujarnya.
Beliau juga memaklumkan bahawa pihak penganjur akan memberi fokus kepada penglibatan belia pada edisi akan datang bagi terus memupuk minat dalam kalangan remaja terhadap sukan ragbi.
“Kami sedang merancang untuk melancarkan kejohanan antarabangsa Bawah 18 tahun peringkat Asia di Sandakan sebagai sebahagian daripada Borneo Sevens tahun depan.
“Jika berjaya, kita bakal menyaksikan penyertaan lebih meluas dari negara-negara Asia sekali gus menjadi langkah besar dalam pembangunan ragbi belia di rantau ini,” ujarnya.





