NIBONG TEBAL – Walaupun pemimpin PAS menafikan akan menyertai Kerajaan Perpaduan seperti yang didedahkan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil namun masyarakat setempat memberikan reaksi berbeza.
Penduduk yang ditemui memberikan pandangan positif dan yakin ia akan memberi manfaat baik kepada rakyat di kawasan pembangkang.
Pesara kerajaan, Muhayudin Shariff, 68, berkata, jika betul ada perbincangan seperti yang didedahkan ia akan disambut baik.
“Kalau betul-betul, alhamdulillah ia jadi kenyataan,” katanya.
Tambahnya, jika PAS kekal sebagai ADUN Sungai Bakap, ia tidak memberi apa-apa kelebihan kepada penduduk tempatan.
“Jika PAS menang di bahagian negeri depa tak boleh buat apa juga… cuma nanti penduduk di sini pasaipa nanti tiada peruntukan.
“Kalau pihak kerajaan menang, PH menang ada juga peruntukan,” katanya.
Turut menzahirkan pandangan yang sama, pesara kerajaan, Halib Hamid, 71, merasakan ia baik bagi penduduk tempatan dan kaum Melayu khususnya.
“Jika berlaku saya sokong,” katanya ringkas.
Menurutnya, suasana pengundi PRK Sungai Bakap berbeza berbanding sewaktu Pilihan Raya Negeri ke-15 sebelum ini.
“Sekarang saya tengok sambutan dia lain, dulu orang ramai sokong PN tapi bila sokong PN depa bukan boleh buat apa pun sebab depa bukan kerajaan,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pesara kerajaan, Jasdi Abd Raof, 67, memberikan sokongan penuh jika PAS menyertai Kerajaan Perpaduan.
“Kalau dia (PAS) masuk dalam terdekat ni alhamdulillah saya sokong… jika masuk saya setuju 100 peratus, katanya.







