ARSENAL terlepas peluang melebarkan penguasaan di puncak Liga Perdana Inggeris kepada enam mata selepas Brentford mengejutkan The Gunners dengan keputusan seri 1-1 awal pagi tadi.
Keputusan itu sekali gus menghidupkan semula harapan Manchester City dalam perebutan kejuaraan.
Noni Madueke meletakkan pasukan pendahulu di depan pada minit ke-61, namun The Bees berhak sekurang-kurangnya meraih satu mata dan menyamakan kedudukan menerusi Keane Lewis-Potter 10 minit kemudian.
Kelebihan Arsenal di puncak liga kini hanya empat mata ketika mereka memburu kejuaraan liga pertama dalam tempoh 22 tahun.
Bagaimanapun, pemain kendalian Mikel Arteta masih perlu bertandang ke gelanggang City yang menghuni tangga kedua dalam baki 12 perlawanan musim ini.
Satu mata itu meningkatkan peluang Brentford untuk layak ke pentas Eropah buat kali pertama apabila kekal di tangga ketujuh.






