
PENGKALAN HULU – Kerajaan mempergiat usaha memperkukuh kawalan sempadan negara dengan menumpukan kepada peningkatan kecekapan operasi dan tahap keselamatan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit, antara pintu masuk strategik Malaysia–Thailand di utara tanah air.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata, lawatan kerja dan tinjauan operasi yang dilaksanakan memberi fokus kepada tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan serta keberkesanan penguatkuasaan di pintu sempadan berkenaan.
Menurut beliau, laluan Bukit Berapit merupakan sebahagian daripada 122 pintu masuk Malaysia–Thailand yang masih di bawah seliaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), sebelum pengoperasiannya diambil alih secara berperingkat oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia bagi memperkukuh kecekapan serta penyelarasan kawalan.
“Kerajaan komited memastikan kawalan sempadan terus diperkasa dan dipertingkatkan, khususnya dalam membanteras aktiviti penyeludupan barangan kawalan yang turut dipengaruhi cabaran Krisis Tenaga Global,” katanya.
Dalam usaha menambah baik kemudahan sedia ada, kerajaan turut melaksanakan kajian kebolehlaksanaan pembinaan ICQS baharu di lokasi sama dengan peruntukan RM2 juta.
Kajian itu meliputi pemilihan lokasi, reka bentuk serta aliran pergerakan pengguna bagi memastikan sistem kawalan sempadan lebih efisien, selamat dan mesra pengguna.
Saifuddin berkata, penambahbaikan tersebut amat penting memandangkan struktur sedia ada berdepan beberapa kekangan operasi, termasuk jarak antara pos sempadan Malaysia dan Thailand yang agak jauh sehingga menjejaskan kelancaran pergerakan keluar masuk.
Dalam lawatan sama, beliau turut berinteraksi dengan pengguna bagi mendapatkan maklum balas secara langsung, sekali gus membantu pihak berkuasa menilai dan mempertingkat mutu perkhidmatan di pintu sempadan itu.
Tambahnya, pendekatan bersepadu antara agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri akan terus diperkasa bagi memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara, selain memperkemas pengurusan sempadan yang lebih sistematik, cekap dan berdaya tahan.







