Sektor pelabuhan diperkasa, pengkorporatan dilaksana secara berfasa – Majang

Oleh: EVELINE B. & NANA MOHAMAD

KUCHING – Sarawak kini dalam fasa memindahkan fungsi kawal selia pelabuhan-pelabuhan di negeri ini, susulan penubuhan Lembaga Pelabuhan Sarawak yang akan bertindak sebagai badan pengawal selia tunggal pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi berkata, langkah strategik menerusi kementeriannya (MIPD) itu bertujuan memperkasa pembangunan sektor pelabuhan secara komprehensif, selaras dengan aspirasi pertumbuhan ekonomi di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

“Lembaga Pelabuhan Sarawak akan memainkan peranan sebagai badan pengawal selia tunggal bagi semua pelabuhan negeri. Ia bakal menggantikan pihak berkuasa pelabuhan sedia ada, termasuklah Pelabuhan Bintulu sebaik sahaja proses penyerahan rasmi daripada kerajaan Persekutuan dimuktamadkan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.

Mengulas lanjut, Majang menjelaskan semua lembaga pelabuhan di Sarawak juga akan dikorporatkan secara berfasa bagi memastikan kelancaran pengurusan pelabuhan sebagai sebuah entiti komersial yang lebih efisien dan berdaya saing.

Transformasi tersebut jelasnya merangkumi pengukuhan aspek tadbir urus korporat, peningkatan kecekapan operasi, jaminan keselamatan serta pengurusan kewangan yang lebih teguh.

Tambah beliau, Lembaga Pelabuhan Sarawak juga akan bertanggungjawab menyelaras pelan pembangunan pelabuhan secara menyeluruh termasuklah pelaksanaan pendekatan pengelompokan bagi mengoptimumkan fungsi setiap pelabuhan, mengurangkan pertindihan peranan, serta memperkukuh rantaian logistik dan kawasan sokongan di sekitar pelabuhan utama.

Dalam perkembangan lain, bagi memastikan infrastruktur negeri kekal relevan, beliau memaklumkan beberapa projek berimpak tinggi sedang dan akan dilaksanakan.

Antaranya, projek pengorekan (The Dredging and Associated Works) di Kuala Baram oleh Lembaga Pelabuhan Miri yang dijangka siap pada Oktober 2026, serta penubuhan Borneo Oil and Gas Supply Base di Bintulu yang bakal terus memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab utama industri minyak dan gas.

Selain itu, kerajaan Sarawak dengan kerjasama Petroleum Sarawak Berhad (Petros) kini merancang projek strategik pembangunan Pelabuhan Laut Dalam dan Terminal Gas Tanjung Embang yang dijangka mula beroperasi bagi fasa pertama pada 2032.

“Pada masa yang sama, kerajaan Sarawak juga melihat kepada keperluan bagi membangunkan zon bebas di Kuching, Bintulu, Samalaju dan Miri. Inisiatif ini diyakini mampu merancakkan lagi aktiviti bernilai tambah tinggi serta menarik lebih banyak pelaburan berorientasikan eksport ke negeri ini,” ujarnya.

Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)

Related Posts

KTC bina hab logistik RM150 juta di Sabah, buka lebih 500 peluang pekerjaan

KOTA KINABALU – Sabah terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan industri apabila syarikat tempatan, KTC Consolidated Berhad, memulakan pembinaan hab logistik dan gudang bernilai RM150 juta di Taman Perindustrian Kota…

Lebih lanjut

teruskan membaca
UMS terajui perbincangan risiko bencana bersepadu

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerajui perbincangan mengenai penyelesaian risiko bencana bersepadu menerusi ‘Resilient Asia 2026 Exposition and Forum di World Trade Centre Kuala Lumpur’ baru-baru ini. Pengarah…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PKR desak Nik Zawawi perjelas kenyataan hina sahabat Rasulullah

PKR desak Nik Zawawi perjelas kenyataan hina sahabat Rasulullah

KTC bina hab logistik RM150 juta di Sabah, buka lebih 500 peluang pekerjaan

KTC bina hab logistik RM150 juta di Sabah, buka lebih 500 peluang pekerjaan

UMS terajui perbincangan risiko bencana bersepadu

UMS terajui perbincangan risiko bencana bersepadu

Konvensyen PH di Johor perlu jadi penentu arah kerjasama PH-BN

Konvensyen PH di Johor perlu jadi penentu arah kerjasama PH-BN

Pensyarah kanan UMS dinobat Tokoh Jururawat Pendidikan Kebangsaan 2026

Pensyarah kanan UMS dinobat Tokoh Jururawat Pendidikan Kebangsaan 2026

Hina sahabat Rasulullah perbuatan tidak beradab, ditegah dalam Islam – Zulkifli

Hina sahabat Rasulullah perbuatan tidak beradab, ditegah dalam Islam – Zulkifli